suria

Pernah tak anda terfikir apa nak buat andai bapa meninggal dunia? Ini panduan untuk anak lelaki, ambil tahu supaya kekal tenang

Anak lelaki bertanggungjawab menguruskan kematian ibu dan bapa. -Gambar hiasan AI

SEORANG anak lelaki sering kali dilihat sebagai tonggak kekuatan buat keluarga, terutamanya ketika berdepan detik paling sukar seperti kehilangan seorang bapa.

Namun di sebalik kecekalan yang dipamerkan, tersimpan tanggungjawab berat yang perlu diuruskan dalam tempoh yang singkat selepas kematian.

Menerusi satu perkongsian menyentuh hati seorang individu dikenali sebagai Rashidul Abdul Wahid, dia menceritakan pengalaman menguruskan jenazah bapanya, bermula dari saat akhir hayat sehinggalah urusan selepas pengebumian selesai.

Menurut Rashidul, terdapat beberapa perkara kritikal yang perlu diberi perhatian oleh setiap anak lelaki dalam menguruskan kematian ahli keluarga:

Menurut Rashidul, ada beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh anak lelaki dalam menguruskan kematian ahli keluarga:

1. Saat akhir bersama arwah

Bacakan surah Yasin di sisi bapa dan pada masa sama ajarkan mengucap.

Maklumkan kepada ahli keluarga tentang keadaan semasa supaya mereka berpeluang hadir.

2. Persediaan pengurusan jenazah

Segera lakukan persediaan pengurusan jenazah seperti mandi si mati, penyediaan kain kafan dan van jenazah dengan mendapatkan khidmat syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara lengkap.

Kebiasaannya hospital juga menyediakan tempat untuk menguruskan jenazah tanpa perlu disimpan lama.

3. Mengimamkan solat jenazah

Anak lelaki disarankan menjadi imam, dengan bacaan asas yang wajib sudah memadai.

4. Urusan kariah dan pengebumian

Maklumkan kepada pihak kariah bagi memudahkan urusan solat jenazah dan pengebumian sama ada di rumah, surau atau masjid.

Penyediaan batu nisan yang ringkas dengan nama juga perlu dilakukan.

5. Hebahan kepada umum

Mohon orang ramai mendoakan arwah. 

Jika arwah mempunyai hutang, waris perlu membuka ruang untuk pihak berkaitan tampil menuntut agar dapat diselesaikan.

6. Tahlil dan doa berterusan

Adakan tahlil bersama ahli keluarga terdekat dan teruskan amalan mendoakan arwah, khususnya selepas solat. 

Tahlil ringkas juga memadai jika kekangan masa.

7. Pendaftaran kematian

Segera daftarkan kematian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

8. Urusan pusaka

Segala urusan harta pusaka perlu disegerakan dan dibincangkan secara telus bersama adik-beradik bagi mengelakkan sebarang pertikaian.

9. Beri sokongan kepada ibu

Jika ibu masih ada, sokongan moral amat penting terutama pada fasa awal kehilangan. 

Ahli keluarga perlu saling memberi semangat dan kekuatan antara satu sama lain.

10. Meneruskan kehidupan

Kehidupan perlu diteruskan, namun doa anak yang soleh akan sentiasa menjadi bekalan berharga buat arwah di akhirat.

Perkongsian ini menjadi panduan berguna khususnya kepada anak lelaki, agar lebih bersedia daripada segi emosi dan praktikal dalam menghadapi detik kehilangan insan tersayang.

Artikel Lain