suria

Ingatkan sihat, rupanya racun dalam diam! Kenali ‘gula tersembunyi’ buat diet anda hancur

Perhatikan label makanan sebelum membeli sebarang produk. -Gambar hiasan AI

TEKAD mengamalkan gaya hidup sihat biasanya bermula dengan perubahan kecil termasuk pemilihan makanan dan minuman lebih sihat.

Produk dengan label seperti 'tanpa gula tambahan' atau 'kurang gula' kerap menjadi pilihan kerana dianggap lebih selamat untuk diambil setiap hari.

Ada individu yang sudah 'membuang' gula pasir dalam diet harian tetapi masih berdepan masalah paras gula dalam darah meningkat serta berat badan sukar dikawal.

Perkongsian oleh Public Health Malaysia menjelaskan keadaan ini berpunca daripada penggunaan gula tersembunyi dalam produk makanan yang dipasarkan sebagai sihat.

Menurutnya, industri makanan menggunakan pelbagai istilah saintifik dan komersial bagi menggantikan perkataan 'gula', sekali gus mengelirukan pengguna. 

Antara yang perlu diberi perhatian ialah bahan berakhir dengan ejaan 'osa' seperti sukrosa, fruktosa, glukosa, maltosa dan dektrosa.

Ramai yang sudah mula sedar tentang kepentingan memilih makanan lebih sihat. -Gambar hiasan

Bahan-bahan ini merupakan gula ringkas yang cepat diserap ke dalam darah dan boleh menyebabkan peningkatan paras insulin secara mendadak.

Selain itu, istilah 'sirap' juga tidak semestinya selamat. 

Contohnya, sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS) sering digunakan kerana kosnya rendah, namun boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pengguna juga disaran berhati-hati dengan bahan yang kedengaran semula jadi seperti sirap agave, sirap maple, molases dan sirap beras perang. 

Walaupun berasal daripada tumbuhan, kandungan gulanya tetap tinggi dan boleh memberi kesan buruk jika tidak dikawal.

Dalam masa sama, bahan seperti maltodekstrin, karamel, jus buah pekat, gula perang dan gula invert turut digunakan sebagai pemanis tersembunyi dalam pelbagai produk makanan.

Malah, terdapat salah tanggapan dalam kalangan ibu bapa menganggap jus buah pekat dalam minuman kanak-kanak sebagai sumber vitamin, sedangkan ia sebenarnya hanya gula buah yang telah kehilangan serat dan nutrien asal.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak hanya bergantung kepada label di bahagian hadapan produk tetapi sebaliknya, amalkan membaca senarai ramuan pada bahagian belakang bungkusan.

Sebagai panduan, bahan disenaraikan di awal menunjukkan kandungan paling tinggi dalam produk tersebut. 

Jika mana-mana bentuk gula berada dalam tiga senarai teratas, pengguna disaran untuk mempertimbangkan semula sebelum membeli.

Langkah ini penting bagi mengelakkan pengambilan gula berlebihan secara tidak sedar, sekali gus melindungi kesihatan diri dan keluarga.

Artikel Lain