suria

Punggung nampak lentik macam buntut itik! Jangan bangga sangat, mungkin ada kaitan dengan autisme, ADHD

Postur tubuh boleh beri petunjuk keadaan kesihatan sesetengah individu. -Gambar hiasan AI

BENTUK punggung yang kelihatan lebih menonjol sering dikaitkan dengan faktor genetik atau hasil senaman di gim.

Namun pakar mendedahkan ia mungkin berkait dengan keadaan postur tubuh yang dipanggil anterior pelvic tilt, iaitu apabila bahagian depan pelvis condong ke hadapan berbanding kedudukan normal.

Keadaan ini menyebabkan lengkungan bahagian bawah belakang menjadi lebih dalam daripada biasa, sekali gus membuatkan perut nampak terkeluar dan punggung lebih menonjol yang juga digelar sebagai duck butt atau 'punggung itik'.

Ia bukan semata-mata disebabkan genetik, sebaliknya sering berlaku apabila otot teras atau core dan punggung lemah sehingga tidak mampu mengekalkan kedudukan pelvis dengan baik.

Selain itu, tabiat duduk terlalu lama atau pergerakan berulang seperti berjalan jinjit juga boleh menyebabkan otot fleksor pinggul dan bahagian bawah belakang menjadi tegang, lalu menolak pelvis lebih ke hadapan.

Dalam keadaan anterior pelvic tilt, bahagian depan pelvis condong ke hadapan berbanding kedudukan neutral. -Foto Zhabska T

Selain itu dalam kalangan kanak-kanak autisme atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), postur ini lebih kerap dilihat kerana mereka cenderung mempunyai kekuatan otot lemah.

Mereka juga berdepan kesukaran daripada segi keseimbangan, koordinasi dan kesedaran terhadap pergerakan badan, sekali gus menyukarkan untuk mengekalkan postur betul ketika berdiri atau bergerak.

Di Amerika Syarikat, dianggarkan satu daripada 31 kanak-kanak berumur lapan tahun ke atas didiagnosis dengan autisme.

Bagi ADHD pula, sekitar satu daripada sembilan kanak-kanak berumur tiga hingga 17 tahun pernah menerima diagnosis keadaan tersebut.

Satu kajian mendapati kanak-kanak autisme berjalan dengan pelvis lebih condong ke hadapan, selain pergerakan buku lali yang kurang kuat dan kedudukan pinggul yang lebih membengkok ke depan.

Kajian lain menunjukkan kanak-kanak lelaki dengan ADHD mempunyai sudut condongan pelvis secara purata 4.5 darjah lebih tinggi berbanding kanak-kanak tanpa keadaan itu.

Gabungan faktor ini boleh menyebabkan perubahan postur lain seperti kepala lebih ke depan dan bahu membongkok, selain pelvis yang condong.

Walaupun tidak semua kes memberi masalah, keadaan ini boleh menyebabkan sakit pada bahagian belakang, pinggul dan lutut selain menjejaskan keseimbangan serta kelajuan pergerakan.

Namun, ia boleh diperbaiki melalui senaman yang membantu meregangkan fleksor pinggul serta menguatkan otot punggung, hamstring dan teras, sekali gus membantu menstabilkan kedudukan pelvis. -Agensi

Artikel Lain