suria

Pernah juga dengar katanya tergigit lidah petanda orang mengumpat hal kita... Sebenarnya ada penjelasan sudut sains

Tergigit lidah sehingga meninggalkan kesan luka boleh menyebabkan ulser. -Gambar hiasan AI

KEBANYAKAN daripada kita membesar dengan kepercayaan bahawa jika tiba-tiba tergigit lidah sendiri ketika makan, itu tandanya ada orang sedang mengumpat kita di belakang.

Namun hakikatnya, insiden tersebut sebenarnya boleh diterangkan daripada sudut sains dan fungsi tubuh manusia.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia, keadaan tergigit lidah atau bibir ketika makan berlaku akibat gangguan koordinasi antara otak dan pergerakan rahang.

Ketika mengunyah makanan, pergerakan dalam mulut dikawal oleh sistem automatik dalam otak dikenali sebagai Central Pattern Generator.

Sistem ini memastikan lidah, gigi dan rahang bergerak secara selaras tanpa perlu difikirkan secara sedar.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh mengganggu koordinasi ini:

1. Hilang fokus ketika makan

Tabiat makan sambil menonton atau melayari telefon menyebabkan otak memproses terlalu banyak maklumat serentak.

Akibatnya, sistem koordinator iaitu pergerakan lidah menjadi sedikit lambat berbanding rahang lalu meningkatkan risiko tergigit sendiri.

2. Mengunyah terlalu laju

Apabila terlalu lapar, seseorang cenderung makan dengan cepat. 

Pergerakan rahang yang terlalu pantas boleh menyebabkan lidah tidak sempat mengelak daripada terkena gigitan.

3. Kepenatan dan stres

Keadaan fizikal yang letih atau tekanan melampau boleh menjejaskan kawalan motorik (motor otot muka). 

Ini menyebabkan pergerakan menjadi kurang tepat dan meningkatkan risiko kecederaan kecil seperti tergigit lidah.

Dalam situasi lidah tergigit sehingga berdarah, beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan kesakitan dan mencegah jangkitan. 

Antaranya ialah berhenti makan seketika, berkumur dengan air sejuk atau menghisap ketulan ais bagi menghentikan pendarahan.

Selain itu, berkumur dengan air garam suam juga boleh membantu membersihkan luka.

Penggunaan ubat gigi pada kawasan tersebut tidak digalakkan.

Luka akibat gigitan ini juga berkemungkinan bertukar menjadi ulser yang menyakitkan pada keesokan hari.

Artikel Lain