suria

Jangan buat main! Lelaki ini hampir ‘biru’ tercekik tulang ayam, dah nak masuk paru-paru... Terpaksa jalani pembedahan

Seorang lelaki dikejarkan ke hospital gara-gara tercekik tulang ayam.

SYAWAL kedua bertukar menjadi detik cemas buat lelaki ini apabila dia tercekik tulang ayam yang dinikmatinya. 

Kejadian itu disedari isterinya yang panik melihat keadaan suami hampir pucat sebelum bertukar kebiruan akibat sukar bernafas. 

Ahli keluarga sempat memberikan bantuan kecemasan sehingga lelaki itu berjaya memuntahkan nasi bersama ayam yang dimakan. 

Namun, tulang tersebut masih tidak berjaya dikeluarkan apabila dia menjerit memaklumkan masih terdapat bahagian yang tersekat di tekaknya.

Bimbang dengan situasi itu, bapa saudara lelaki itu terus membawanya ke klinik berdekatan dengan harapan tulang tersebut dapat dikeluarkan.

Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal sebelum dia dirujuk ke Hospital Sungai Petani, Kedah kerana kedudukan tulang sudah masuk terlalu dalam.

Tulang tersebut sukar dibuang kerana sudah tersekat di bahagian tekak.

Setibanya di hospital, doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) cuba mengeluarkan tulang menggunakan peralatan khas.

Namun, tulang tersebut tidak berjaya dikeluarkan kerana ia sudah hampir memasuki saluran ke paru-paru.

Keadaan itu memaksa pesakit dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut.

Sekitar pukul 5 pagi, doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan kerana peralatan sedia ada tidak mampu mengeluarkan tulang ayam tersebut.

Suaminya kemudian perlu berpuasa sebagai persediaan menjalani prosedur berkenaan.

Sebelum pembedahan, doktor turut menjelaskan beberapa risiko termasuk kemungkinan saluran pemakanan terkoyak ketika proses mengeluarkan tulang.

Lelaki itu terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang tulang tersebut.

Jika keadaan itu berlaku, pesakit perlu menerima nutrisi melalui tiub hidung sehingga saluran berkenaan sembuh.

Selain itu, terdapat juga risiko jangkitan kuman yang boleh menyebabkan nanah dan berpotensi merebak ke paru-paru.

Bagaimanapun, pembedahan berjaya dilakukan dan saluran pemakanan tidak mengalami sebarang koyakan serius.

Pesakit hanya mengalami luka kecil akibat tulang yang tercucuk.

Dalam masa sama, kejadian itu dijadikan peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika makan, terutama melibatkan tulang ayam.

Susulan kejadian tersebut, pasangan itu terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital pada tahun ini.

Artikel Lain