suria

Tukar kopi kepada matcha selama seminggu, influencer dedah 3 perubahan mengejutkan! - “Dulu bangun pagi cepat marah”

Seorang pempengaruh berkongsi perubahan dialami selepas mengamalkan minuman matcha.

MINUMAN matcha semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar gaya hidup sihat, bukan sahaja kerana rasanya yang unik malah kandungan nutrisinya tinggi.

Dikenali sebagai sumber antioksidan yang kuat, matcha turut mengandungi kafein serta L-theanine, sejenis asid amino membantu memberi kesan lebih tenang dan stabil berbanding kopi.

Seorang pempengaruh kesihatan dari United Kingdom berkongsi pengalaman apabila dia melihat perubahan positif selepas menggantikan kopi dengan matcha selama seminggu.

1. Kurang stres, lebih tenang

Sebelum ini dia mengalami masalah tidur dan kerap berasa cemas. 

Namun selepas beralih kepada matcha, dia berasa lebih tenang setiap pagi dan dapat memulakan hari dengan lebih relaks. 

Malah dia menyedari kopi sebelum ini menyumbang kepada rasa mudah marah pada waktu pagi.

2. Tenaga kekal sepanjang hari

Kopi yang diminum pada waktu pagi hanya bertahan sehingga tengah hari dan memerlukan pengambilan tambahan untuk kekal bertenaga. 

Sebaliknya, matcha membantu mengekalkan tenaga yang lebih stabil sepanjang hari tanpa perlu minuman tambahan.

3. Kesan lebih perlahan tetapi berpanjangan

Walaupun mengandungi kafein, matcha tidak memberi lonjakan tenaga secara mendadak seperti kopi. 

Sebaliknya, kesannya lebih perlahan tetapi bertahan lebih lama, walaupun mengambil sedikit masa untuk benar-benar fokus.

Influencer itu menyifatkan eksperimen tersebut sebagai menarik dan merancang untuk terus mengambil matcha pada waktu tertentu, terutama ketika berasa stres atau mahu mengelakkan keletihan pada sebelah petang.

Namun, dia mengakui masih belum terbiasa dengan rasa matcha yang sedikit pahit dan bertekstur, sehingga kadangkala perlu menambah pemanis yang boleh menjejaskan manfaat kesihatannya.

Had pengambilan kafein harian

Menurut saranan Majlis Pengguna, individu dewasa dengan berat sekitar 60 kilogram disarankan mengambil tidak melebihi 400 miligram (mg) kafein sehari.

Manakala wanita hamil atau menyusu perlu mengehadkan pengambilan kepada kurang daripada 200mg sehari.

Purata kandungan kafein dalam secawan kopi

Kopi 'segar' yang dikisar: 140mg

Kopi bancuhan biasa: 130mg

Kopi 'instant (segera): 120mg

Kopi kapsul: 80mg

Secara keseluruhan, kopi dan matcha mempunyai kelebihan tersendiri, namun pemilihan minuman bergantung kepada keperluan tubuh dan tahap toleransi kafein seseorang. -Agensi

Artikel Lain