DALAM kalangan ibu hamil, masalah kaki bengkak sering dianggap perkara biasa lebih-lebih lagi apabila kandungan semakin membesar.Namun, pengalaman seorang wanita ini membuktikan simptom tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi menjadi petanda kepada komplikasi serius. Menurutnya, dia sendiri pernah berasa tenang apabila sering diberitahu bahawa bengkak di kaki adalah normal ketika hamil buat kali ketiga, dua tahun lalu."Kita selalu ditenangkan dengan ayat biasalah kaki bengkak waktu mengandung. Semua orang macam tu. Makin dekat nak bersalin memang kaki bengkak."Banyak sangat berjalan atau berdiri tu. Ayat ni juga yang saya selalu dengar hingga saya selesa. Hakikatnya bukan semua masalah kaki bengkak dalam kalangan ibu mengandung itu normal ya."Boleh jadi pembunuh senyap yang kita sendiri tak terbayang pun. Saya alami keguguran dua kandungan sebelum tu. Jadi kandungan kali ketiga buat saya dan suami lebih berjaga-jaga," ceritanya.Setiap catatan dalam buku rekod kesihatan ibu mengandung (buku pink) serta ubat-ubatan yang diberikan diperiksa semula oleh suaminya. Sepanjang tempoh itu, keadaannya dilaporkan baik dan tiada sebarang kebimbangan di mana tekanan darah serta bacaan hemoglobin juga berada pada paras memuaskan.Ibu hamil cenderung untuk mengalami pelbagai komplikasi ketika hamil. -Gambar hiasanBagaimanapun, situasi berubah apabila kandungannya mencecah usia 28 minggu apabila bacaan tekanan darah mula menjadi tidak menentu dan kebanyakannya berada pada paras tinggi."Saya menetap di Johor. Kebetulan saya memilih untuk bersalin di kampung halaman di Terengganu. Jadi lepas berpindah ke kampung, rekod kesihatan saya kurang lengkap."Hari pertama saya laporkan diri ke klinik kesihatan, bacaan darah saya jadi 164 per 115. Saya terus dibawa naik ambulans. Kaki bengkak tapi tak sakit langsung," katanya.Tambahnya, dia kemudiannya mendapatkan rawatan segera di hospital dan disahkan mengalami preeklampsia, iaitu komplikasi serius yang boleh berlaku ketika hamil.Situasi itu menjadi semakin kritikal apabila jantungnya dilaporkan terhenti selama lima minit sehingga menyebabkan dia koma dan terpaksa ditidurkan dengan bantuan pernafasan.Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup tanpa mengalami brain death (kerosakan pada bahagian otak).Menurut Hello Doktor, praeklampsia atau preeklampsia merupakan komplikasi kehamilan yang dicirikan oleh tekanan darah tinggi serta tanda-tanda gangguan pada organ lain dalam badan.Keadaan ini lazimnya melibatkan organ penting seperti hati dan buah pinggang dan sering berlaku selepas usia kandungan melepasi 20 minggu, termasuk dalam kalangan ibu yang sebelum ini tidak mempunyai masalah tekanan darah.Jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal, praeklampsia boleh menjadi serius serta berisiko mengancam nyawa ibu hamil.