suria

Kajian dapati uncang teh lepaskan jutaan mikroplastik dalam air panas, berpotensi jejas sel usus manusia

Ramai yang memilih minuman berasaskan teh ketika berehat di rumah. -Gambar hiasan AI

KEBANYAKAN daripada kita memilih air teh sebagai minuman harian untuk menenangkan fikiran dan merehatkan badan.

Namun di sebalik kebiasaan itu, ramai tidak menyedari uncang teh yang direndam dalam air panas berpotensi memberi kesan buruk tanpa disedari.

Menurut Public Health Malaysia, kajian kebelakangan ini mula menimbulkan persoalan apabila mendapati sesetengah uncang teh berpotensi melepaskan mikroplastik dan nanoplastik apabila terdedah kepada air panas.

Dalam himpunan kajian saintifik mengenai teh, punca yang dikenal pasti bukan hanya pada daun atau pembungkusan luar, sebaliknya turut melibatkan bahan uncang itu sendiri.

Keadaan ini lebih membimbangkan apabila kebanyakan uncang di pasaran diperbuat daripada bahan berasaskan polimer seperti nilon, polipropilena atau campuran sintetik tertentu.

Walaupun kelihatan kecil dan biasa, bahan ini boleh terurai apabila terdedah kepada suhu tinggi lalu melepaskan partikel halus untuk dilihat dengan mata kasar.

Lebih membimbangkan, partikel tersebut bukan sekadar berada dalam air minuman malah kajian makmal turut menunjukkan kemungkinan mikroplastik daripada uncang teh berinteraksi dengan sel usus manusia.

Bagaimanapun, keadaan ini tidak bermaksud orang ramai perlu panik atau berhenti minum teh sepenuhnya.

Sebaliknya, ia menjadi peringatan untuk orang ramai lebih peka terhadap bahan yang digunakan dalam penyediaan minuman harian.

Apabila sesuatu produk sering bersentuhan dengan air panas, adalah wajar untuk mengetahui komposisi sebenar bahan tersebut.

Selama ini, ramai lebih menumpukan kepada pemilihan jenis teh seperti teh hijau, chamomile atau minuman detoks.

Namun, aspek uncang teh juga wajar diberi perhatian kerana kesihatan bukan sahaja bergantung pada apa yang diminum, tetapi juga bahan lain yang mungkin turut larut bersama.

Artikel Lain