Keadaan kenderaan yang menyebabkan seorang bayi dua bulan maut akibat tercampak. -Gambar China Times, Next Apple News
SEORANG bayi perempuan berusia dua bulan maut selepas tercampak ke cermin hadapan kereta apabila bapanya hilang kawalan akibat cuba mengambil puting susu yang terjatuh semasa memandu.Menurut laporan, ketika kejadian berlaku, bayi malang tersebut berada dalam pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan dan tidak diletakkan di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak. Difahamkan pasangan muda itu turut membawa seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun yang duduk bersendirian di bahagian belakang kenderaan.Tragedi hitam itu bermula apabila si bapa yang sedang memandu bertindak cuba mengambil puting susu anaknya yang terjatuh, menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang tiang lampu dalam kejadian ngeri di Taiwan.Akibat impak pelanggaran yang kuat, bayi berkenaan tercampak ke arah cermin hadapan dan mengalami kecederaan yang amat parah termasuk pada bahagian otak.Mangsa disahkan sudah pun tidak bernafas ketika ditemukan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital dengan kadar segera, namun doktor mengesahkan mangsa sudah pun meninggal dunia.Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, si bapa dilaporkan mengaku bersalah sepenuhnya atas kecuaian yang dilakukan dalam kejadian pada 25 Oktober 2025 itu.Mahkamah Taiwan dalam penghakimannya mengambil kira faktor pasangan terbabit masih muda dan kurang pengalaman sebagai ibu bapa selain mengakui kecuaian mereka.Mahkamah turut berpandangan tragedi kehilangan anak sendiri memberi kesan mendalam kepada pasangan itu dan dijangka menjadi pengajaran mengenai kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.Pasangan tersebut akhirnya diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan yang boleh diganti dengan denda selain digantung daripada memandu selama dua tahun. -Agensi