SEPASANG suami isteri yang baharu sebulan mendirikan rumah tangga ditemukan meninggal dunia dipercayai bunuh diri dalam tempoh berselang hanya dua hari.Kejadian menyayat hati itu bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah turut menimbulkan pelbagai persoalan mengenai punca sebenar tragedi berkenaan. Mangsa yang dikenali sebagai Jyoti Tomar, 23, dilaporkan meninggal dunia pada 20 Mei lalu di rumah ibu bapanya di kawasan Murar, Kapurthala, India.Dua hari selepas kejadian tersebut, suaminya, Siddharth pula ditemukan meninggal dunia di rumahnya di kawasan Pinto Park.Menurut polis, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 25 April menerusi perkahwinan yang diatur keluarga.Bagaimanapun, selepas beberapa hari berkahwin, Jyoti dikatakan pulang ke rumah ibunya.Pada 20 Mei, wanita itu ditemukan maut dipercayai menggantung dirinya menggunakan sehelai dupatta (selendang panjang).Selang dua hari kemudian, Siddharth pula ditemukan meninggal dunia dengan menggantung diri di bilik mandi rumahnya selepas dipercayai terlalu tertekan dengan kematian isterinya."Kedua-dua keluarga tidak dapat menjelaskan sebab-sebab di sebalik kejadian bunuh diri itu," kata jurucakap polis.Polis kini memulakan siasatan terhadap kedua-dua kematian itu.Pihak berkuasa juga sedang memeriksa bukti teknikal, termasuk telefon bimbit, akaun media sosial dan rekod digital lain yang dikaitkan dengan pasangan itu, untuk menentukan sebab-sebab di sebalik insiden tragis berkenaan. -Agensi