TINDAKAN seorang wanita melarikan diri sehari sebelum majlis perkahwinannya mengundang perhatian netizen.Lebih mengejutkan apabila dia ditemui bersembunyi di sebuah hotel bersama kekasihnya. Kejadian dilaporkan berlaku di Tlogowungu, Indonesia.Berdasarkan laporan, gadis berusia 19 tahun itu ditemui polis pada Sabtu selepas keluarganya membuat laporan kehilangannya pada 21 Mei lalu.Menurut Ketua Polis Tlogowungu, AKP Mujahid, siasatan mendapati remaja itu dipercayai melarikan diri dari rumah melalui pintu belakang pada hari majlis perkahwinannya berlangsung."Selepas menerima laporan, kami terus menjalankan pencarian bersama polis dari Pati dan Jepara," katanya.Hasil siasatan membawa polis ke sebuah hotel di Jalan Nusa Indah, Desa Kedungcino, Jepara selepas menerima maklumat mengenai lokasi teman lelaki remaja tersebut.Kecurigaan polis bertambah apabila menemui motosikal milik lelaki berkenaan di kawasan hotel selain namanya turut tersenarai dalam buku daftar tetamu.Pemeriksaan lanjut di bilik bernombor 04 hotel itu menemukan gadis terbabit bersama seorang pemuda berusia 18 tahun yang berasal dari Desa Purwosari, Tlogowungu.Difahamkan, dia enggan berkahwin dengan lelaki berusia 33 tahun yang dijodohkan dengannya.Susulan itu, dia memilih untuk melarikan diri bersama kekasihnya."Kami membawa kedua-dua mereka ke Ibu Pejabat Polis Pati untuk siasatan lanjut," ujar Mujahid lagi.Menurut polis, kedua-dua keluarga kini masih dalam proses mediasi dan perbincangan bagi menyelesaikan isu tersebut secara kekeluargaan.Pihak berkuasa turut menegaskan kes itu dikendalikan menggunakan pendekatan berperikemanusiaan bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan harmoni. -Agensi