SEORANG penghantar barang bertindak berani menyelamatkan seorang wanita daripada dibunuh suaminya menggunakan tukul besi ketika menghantar bungkusan di rumah pasangan itu awal Mei lalu. Dalam kejadian tersebut, penghantar dari syarikat Amazon terbabit terdengar jeritan seorang wanita di luar pintu rumah sebelum ternampak mangsa berlumuran darah dan suaminya sedang memegang tukul di dalam rumah. Kejadian tragis melibatkan suspek bernama James Alan Johnson, 72, itu berlaku di Wyoming, Minnesota, Amerika Syarikat.Menurut laporan, penghantar barang yang identitinya tidak didedahkan itu terus masuk ke dalam rumah dan mengarahkan suspek melepaskan tukul berkenaan.Suspek akur sebelum menyerahkan tukul tersebut kepada lelaki terbabit yang kemudian menghubungi talian kecemasan 911.Anggota polis yang tiba di lokasi menemukan mangsa terbaring dalam lopak darah di ruang tamu dengan kecederaan serius di kepala, tangan dan lengan.Menurut laporan aduan jenayah yang diperoleh CBS News, mangsa mengalami beberapa kesan hentakan yang dipercayai akibat dipukul menggunakan tukul berkali-kali.Mangsa memberitahu polis suaminya memukul kepalanya dua kali menggunakan tukul dan dia hanya berjaya melepaskan diri selepas menendang bahagian sulit lelaki itu.Siasatan mendapati Johnson mendakwa serangan itu berpunca daripada masalah kewangan apabila syarikat tempat dia bekerja sebagai pengurus besar dikatakan berdepan risiko 'gulung tikar'.Menurut polis, suspek turut mengaku merancang untuk membunuh isterinya beberapa hari sebelum kejadian bagi menyelamatkan mangsa daripada tekanan kewangan.Dia dipercayai merancang untuk memukul isterinya supaya pengsan sebelum membunuh mangsa.Johnson kini ditahan di Penjara Daerah Chisago susulan didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh tahap pertama dan menyerang menggunakan senjata berbahaya. -Agensi