Mahkamah dapati tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk menekan mangsa. -Foto Haberler
SEORANG anggota polis di Ankara, Turki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita ketika menjalankan tugas.Mahkamah Jenayah Pertama Ankara dalam keputusan penghakimannya memutuskan tertuduh menyalahgunakan kuasa sebagai penjawat awam untuk melakukan jenayah tersebut. Selain hukuman penjara atas kesalahan serangan seksual, anggota polis itu turut dikenakan hukuman tambahan 10 bulan penjara kerana menceroboh kediaman mangsa.Menurut mahkamah, kejadian berlaku selepas tertuduh bersama seorang lagi anggota polis pergi ke rumah mangsa susulan aduan bunyi muzik kuat.Tertuduh didakwa memasuki rumah wanita itu dengan alasan menerima laporan berkaitan dadah walaupun tidak mempunyai waran geledah.Mahkamah turut menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa mangsa menjemputnya masuk dan meminta bantuan kerana takut dengan individu lain di dalam rumah.Sebaliknya, mahkamah mendapati kenyataan mangsa adalah konsisten dan disokong rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi serta bukti lain.Rakaman CCTV menunjukkan mangsa melarikan diri dalam keadaan panik sebelum diikuti tertuduh walaupun wanita itu dilihat cuba menjauhkan diri.Beberapa saksi jiran turut memberitahu mahkamah bahawa mangsa mengetuk pintu rumah mereka sambil menangis dan meminta pertolongan sejurus selepas kejadian.Mahkamah turut menegaskan tindakan mangsa yang tidak melawan secara agresif ketika kejadian bukan bermaksud dia merelakan perbuatan tersebut.Menurut keputusan itu, mangsa dipercayai terlalu takut dengan kuasa dimiliki tertuduh sebagai anggota polis sehingga cuba menurut kehendaknya demi menyelamatkan diri.Dalam penghakiman sama, mahkamah memutuskan hukuman lebih berat dikenakan kerana tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk menekan mangsa. -Agensi