suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kod baharu sekat kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial mulai 1 Jun

Kod ini sebagai langkah membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian. -Gambar hiasan AI

DALAM usaha mengawal dan memperkukuh keselamatan kanak-kanak terhadap penggunaan media sosial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang akan berkuat kuasa 1 Jun depan.

Agensi itu dalam kenyataan medianya berkata, kedua-dua kod itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh keselamatan dalam talian selain mewujudkan pengalaman digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga, terutama bagi mereka yang berumur bawah 16 tahun.

“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks. “Kod ini menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak. Pihaknya akan memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan (safety by design) bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka, termasuk perlindungan mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.

Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan.

RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan, termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.

Katanya, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur. Bagi tujuan ini, pengguna perlu melengkapkan proses pengesahan umur sebelum memiliki akaun media sosial atau meneruskan penggunaan akaun sedia ada.

Pengesahan umur ini akan dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport.

Bagi pengguna kanak-kanak sedia ada, proses sama perlu dilakukan bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun media sosial. Pemberi platform media sosial berlesen yang mempunyai lapan juta pengguna atau lebih di Malaysia tertakluk kepada langkah sekatan umur di bawah CPC ini, termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh membaca soalan lazim berkaitan kod ini di sini.

Artikel Lain