GURU lelaki yang didakwa menjalinkan hubungan seksual dengan seorang murid perempuan di kawasan Seri Alam di Johor Bahru, Johor sudah ditahan polis pada Khamis malam.Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat, berkata pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook yang mengandungi dakwaan berkait kejadian terbabit. Susulan hantaran tular berkenaan, Choon Huat berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 37 tahun kira-kira pukul 9 malam."Pengadu memaklumkan kejadian cabul itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2025 di kawasan Seri Alam. Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan seorang suspek."Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan ‘settle’ luar tak menjadi… Guru jalin hubungan seksual murid Tahun Enam digantung tugasARTIKEL BERKAITAN: “Janji nak kahwin apabila usia 18 tahun” - Cikgu amang seksual murid sekolah rendah didakwa cuba selesai kes luar mahkamahBeliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah dengan permohonan reman ke atasnya akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini (Jumaat)."Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak."Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan," katanya.Terdahulu, bekas pendidik, Mohd Fadli Salleh mendedahkan seorang guru sekolah rendah di Johor yang dikaitkan dengan kes hubungan seksual melibatkan murid Tahun Enam, kini didakwa kembali mengajar seperti biasa di sekolah.Paling mengejutkan apabila didakwa wujud usaha pihak-pihak tertentu untuk menyembunyikan kes berkenaan termasuk kononnya guru terbabit mahu mengahwini mangsa apabila usianya mencecah 18 tahun.Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merehatkan guru lelaki tersebut daripada tugas serta-merta.Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis selain siasatan dalaman diteruskan kementeriannya.