suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Saya nak pecah rumah dia ambil emas” - Lelaki mengaku salah kurung, cederakan remaja 14 tahun... Mohon hukuman paling berat

Mohamad Fadwan mengaku bersalah dan mahu hukuman berat dikenakan atas jenayah yang dilakukan.

SEORANG lelaki mohon dikenakan hukuman berat sejurus membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan jenayah iaitu mengurung dan mencederakan remaja lelaki berusia 14 tahun.

Menerusi prosiding di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat, Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, menjelaskan tujuan dia mengurung dan mengikat remaja berkenaan adalah untuk mendapatkan maklumat bagi mencuri emas di rumah mangsa.

Pengakuan itu dibuatnya ketika prosiding di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

"Saya nak pecah rumah dia sebab nak ambil emas, sebelum masuk rumah saya kena kumpul maklumat dulu.

"Saya mohon hukuman seberat-beratnya," katanya.

Susulan itu, Wan Noora Nisa memerintahkan hukuman penjara 15 bulan terhadap tertuduh bermula Jumaat.

Untuk rekod, mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengurung mangsa yang pada ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan dengan mengikat tangan dan kaki remaja berkenaan di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 antara pukul 8.05 pagi hingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, pada waktu, tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman serupa.

Dalam pada itu, tertuduh yang juga duda anak satu itu turut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Hakim, Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Menerusi laporan terdahulu, seorang remaja lelaki dikurung, didera dan dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning.

Siasatan awal polis mendapati, suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sambil menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di rumah suspek.

Hasil semakan, suspek yang dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang itu baharu dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu.

Artikel Lain