suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Seludup dadah guna aset tentera pengkhianatan kepada negara - Anwar

Anwar berkata isu itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan penggunaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk kegiatan penyeludupan dadah sebagai satu pengkhianatan serius terhadap keselamatan negara dan menegaskan perbuatan sedemikian tidak akan sesekali dikompromi.

Anwar pada Jumaat berkata, isu pencerobohan keselamatan sempadan serta penyalahgunaan aset strategik kerajaan antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat susulan pendedahan sebelum ini mengenai kegiatan penyeludupan dadah menggunakan penerbangan komersial.

Anwar menegaskan kerajaan memandang serius ancaman jenayah terancang yang menurutnya sudah berakar umbi dan menjadi masalah sistemik sejak beberapa dekad lalu.

"Bagaimana kita boleh membiarkan aset pertahanan negara diceroboh dan dikompromi oleh individu tidak bertanggungjawab?

"Ini merupakan satu perbuatan khianat terhadap negara dan bahaya yang ditimbulkannya amat besar," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, Kuala Lumpur.

Lima anggota TUDM ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset pertahanan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dia menerima jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemantauan ketat serta tindakan tegas akan dilaksanakan serta-merta.

Tambahnya, arahan jelas turut dikeluarkan kepada semua agensi penguatkuasaan termasuk jabatan berkaitan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia supaya mengemukakan laporan menyeluruh berhubung perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Leftenan, kapten TUDM antara enam didakwa edar 96.2 kg dadah di pangkalan udara

"Perkara ini sudah berlaku selama beberapa dekad dan dibiarkan berterusan, malah ada kalanya dengan kerjasama pihak tertentu. Saya memahami mengapa perkara ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan sesetengah pihak.

"Saya ingin tegaskan bahawa selagi saya memegang jawatan ini serta menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan, saya tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian," katanya.

Pada 17 November lalu, lima anggota TUDM dan enam orang awam ditahan dalam beberapa operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset pertahanan negara.

Polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta, selain 6.98 kilogram bahan kimia. – The Star.

Artikel Lain