PERIHAL nafkah anak sering menjadi perhatian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan situasi yang rumit daripada sudut hukum dan tanggungjawab.Dalam masyarakat, masih ramai yang keliru mengenai hak serta kewajipan ibu dan bapa apabila anak dilahirkan di luar pernikahan, termasuk persoalan sama ada tuntutan nafkah boleh dibuat terhadap bapa biologi. Seorang peguam syarie dikenali sebagai Naim, menjelaskan perkara ini susulan persoalan mengenai anak tidak sah taraf yang dibinkan Abdullah, khususnya apabila ibu ingin membuat tuntutan nafkah bagi anak yang masih kecil terhadap bapanya.Menurut Naim, daripada sudut hukum syarak, bapa biologi tidak wajib menanggung nafkah anak tidak sah taraf.Jelasnya lagi, keadaan itu sekali gus bermaksud tiada tuntutan nafkah boleh dibuat di mahkamah terhadap lelaki berkenaan kerana anak tersebut tidak dinasabkan kepadanya."Dalam undang-undang syariah, nafkah anak tidak sah taraf adalah di bawah tanggungan ibu kandung bukan ke atas bapa biologi."Ini kerana anak tersebut tidak dinasabkan (ikatan kekeluargaan) dengan lelaki itu, maka tiada kewajipan nafkah daripada sudut hukum," jelasnya.Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang menganggap undang-undang ini tidak adil dan membebankan wanita, Naim menegaskan perkara itu tidak seharusnya dilihat secara negatif.Menurutnya, hukum berkenaan wujud sebagai peringatan dan kesan terhadap perbuatan yang dilarang dalam Islam."Kalau ada yang kata undang-undang ini tidak memihak kepada wanita, jangan terus salahkan undang-undang. Muhasabah diri dahulu. Hukum ini wujud sebagai kesan kepada perbuatan zina."Islam bukan sekadar mengharamkan zina tetapi melarang mendekatinya kerana kesannya sangat besar termasuk melibatkan nasab, nafkah, hak anak dan beban kehidupan ibu," katanya.Bagaimanapun, Naim menegaskan bahawa anak yang dilahirkan tetap tidak berdosa dan wajib dibela dengan sebaiknya."Hukum tidak boleh diubah semata-mata untuk menutup kesilapan manusia. Islam itu adil dan setiap perbuatan ada akibatnya," ujarnya.