KAWASAN parkir sering dianggap ruang paling mudah ketika memandu tetapi sebenarnya ia merupakan lokasi berisiko berlakunya kemalangan kecil melibatkan insiden tersalah tekan pedal.Menurut perkongsian Public Health Malaysia, ruang parkir yang sempit dengan jarak dekat antara tiang, dinding dan kenderaan lain memerlukan kawalan yang lebih teliti. Walaupun kenderaan bergerak perlahan, pemandu perlu melakukan banyak pembetulan dalam tempoh singkat termasuk menukar antara pedal brek dan minyak.Berdasarkan laporan National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), hampir separuh kemalangan akibat salah tekan pedal berlaku di kawasan parkir.Situasi menjadi lebih berisiko apabila kenderaan bergerak sedikit lebih laju daripada jangkaan. Dalam keadaan panik, otak cuba memberi arahan untuk berhenti, namun kaki tersasar ke pedal yang salah.NHTSA turut melaporkan unsur terkejut atau panik hadir dalam kira-kira 19 peratus kes yang dianalisis, dan pergerakan kaki yang lebih pantas serta kuat meningkatkan risiko tersalah tekan pedal.Selain itu, faktor kurang fokus juga memainkan peranan besar. Dalam analisis sama, kurang perhatian (inattention) direkodkan dalam 44 peratus kes, manakala elemen gangguan (distraction) turut dikenal pasti sebagai faktor penyumbang.Keadaan ini menjelaskan mengapa kemalangan di kawasan parkir sering kelihatan berlaku secara tiba-tiba, sedangkan ia sebenarnya terjadi dalam tempoh beberapa saat sahaja.Laporan lain turut menunjukkan bahawa kemalangan jenis ini lebih cenderung berlaku di kawasan berkelajuan rendah serta ketika manuver parkir.Maksudnya, parking bukan sekadar ruang letak kereta. Ia ialah situasi yang menuntut ketenangan, kawalan kaki yang tepat, dan fokus yang penuh.Sehubungan itu, pemandu disaran memperlahankan kenderaan dengan sewajarnya, menenangkan fikiran dan memastikan kedudukan kaki sentiasa bersedia pada pedal yang betul. Dalam banyak keadaan, kemalangan bukan berpunca daripada kelajuan, tetapi akibat panik dalam beberapa saat di ruang sempit.