AMALAN berpantang secara tradisional termasuk mengamalkan pelbagai petua turun-temurun masih dilakukan wanita selepas bersalin tanpa memahami kesan sebenar terhadap kesihatan.Biasanya tempoh berpantang selama 44 hingga 100 hari melibatkan pemakanan berkhasiat, penjagaan diri serta urutan bagi memulihkan rahim selain mengelakkan ibu meroyan. Proses yang perlu dilalui ibu berpantang termasuklah bertungku, berbengkung, bertangas dan mengurut.Ramai masih mengamalkannya kerana sudah dimomok-momokkan dengan pelbagai kesan sampingan bakal dihadapi jika tidak berpantang secara tradisional.Namun hakikatnya, tidak semua amalan berpantang secara tradisional itu sesuai atau selamat diamalkan seperti bertangas yang dipercayai dapat 'mengeringkan' rahim, menghilangkan bau dan merapatkan semula faraj selepas bersalin.Malah seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) pernah tampil memberi penjelasan mengenai bahaya bertangas yang dilakukan dengan duduk di atas wap air panas bersama campuran herba itu.Penjelasan itu juga turut disokong oleh Public Health Malaysia yang menjelaskan tentang faraj bukan 'dapur herba' yang perlu diasap dengan campuran daun, akar atau bahan tertentu untuk membersihkan alat sulit.Hakikatnya, alat sulit wanita mempunyai sistem semula jadi untuk membersihkan dirinya sendiri tanpa memerlukan rawatan seumpama itu. Bahagian dalam tidak perlu diwap atau dicuci dengan bahan tertentu hanya kerana terpengaruh dengan petua lama atau trend semasa.Apa lebih membimbangkan, wap panas boleh menyebabkan risiko lecur pada kulit faraj yang sangat sensitif. Selain itu, penggunaan herba atau bahan campuran pula berpotensi mencetuskan iritasi, kegatalan dan rasa pedih, sekali gus mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam alat sulit wanita. Apabila keseimbangan ini terganggu, risiko jangkitan juga akan meningkat.Pendekatan terbaik adalah menjaga kesihatan dengan ilmu yang betul, bukan sekadar mengikut amalan tanpa asas perubatan.