GARA-GARA berasa terganggu ketika sedang bermain permainan dalam talian, seorang lelaki tergamak bertindak kejam dengan menikam anak saudara lelakinya yang masih bayi sehingga mati.Lebih meruntun jiwa, tubuh mangsa yang tidak berdosa itu dipenuhi dengan kesan tikaman ngeri yang bermula dari bahagian kepala sehingga ke seluruh badan.Kejadian tragis di sebuah rumah sewa di Jatirangga, Jatisampurna, Kota Bekasi, Jawa Barat di Indonesia itu berlaku pada Rabu malam. Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Kota Bekasi, Pesuruhjaya Andi Muhammad Iqbal, suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut selepas mangsa memanjat ke belakangnya ketika dia sedang bermain permainan dalam talian."Suspek mengaku. Kejadian berlaku selepas mangsa memanjat belakangnya dan mengganggu ketika dia sedang bermain permainan dalam talian."Perbuatan bayi tersebut menyebabkan dia naik marah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Difahamkan, suspek kemudian bertindak tanpa berfikir panjang dengan menuju ke dapur untuk mengambil pisau sebelum menyerang mangsa."Dia menikam kepala mangsa terlebih dahulu sebelum menikam bahagian badan," ujarnya.Dalam pengakuannya, suspek turut mendakwa terdengar ‘bisikan’ sebelum bertindak kejam selain meluahkan keinginan untuk ‘bertemu Tuhan dengan cepat’.Walau bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.Tambah beliau, saksi memaklumkan mangsa dipercayai menangis selama kira-kira tiga jam sebelum ditemui tidak bernyawa."Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di seluruh badan di dalam bilik sewa berkenaan," tambahnya.Kes kini masih dalam siasatan lanjut pihak polis.Terdahulu, mangsa dilaporkan dibesarkan oleh neneknya sejak dilahirkan dan tinggal bersama suspek di rumah sewa berkenaan.Nenek mangsa pula kebiasaannya keluar menjual barangan runcit pada waktu petang bagi menyara kehidupan keluarga.Malah setiap kali mangsa menangis atau meragam, suspek lazimnya akan meminta bantuan ahli keluarga yang tinggal di tingkat atas, namun pada hari kejadian dia tidak berbuat demikian. -Agensi