SEBUAH bas persiaran yang membawa puluhan penumpang dilaporkan terbalik dalam satu kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 15, Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah pada Sabtu petang.Insiden cemas itu membabitkan pertembungan antara dua buah bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz.Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.29 petang.Susulan itu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 6.06 petang.Menurut beliau, salah sebuah bas yang membawa 36 penumpang warga asing hilang kawalan lalu terbalik di atas jalan raya."Sebuah bas yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik, mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan. Sebanyak 34 penumpang dari Bangladesh dan Nepal yang menaiki satu lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.Mohd Salahuddin turut mengesahkan bahawa tiga individu yang berada di dalam Perodua Aruz terselamat daripada sebarang kecederaan fizikal.Berkat tindakan pantas, semua mangsa yang terlibat dilaporkan berjaya keluar menyelamatkan diri dari kenderaan masing-masing sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian."Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital."Pihak bomba telah melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian," katanya.