suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Onn Hafiz lebih rela lepas jawatan Menteri Besar, BN Johor tetap pendirian tidak akan bersama DAP

Onn Hafiz ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera BN Johor pada Ahad.

BARISAN Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 akan datang.

Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar sementara, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pendirian itu selaras dengan landskap politik negeri yang berbeza berbanding situasi di peringkat Persekutuan, selain menegaskan gabungan berkenaan tidak pernah mentadbir Johor bersama DAP.

"Saya lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada duduk semeja dengan mereka (DAP). Johor dan kerajaan Persekutuan adalah dua realiti yang berbeza.

"Kita perlu mengingatkan Bersatu bahawa DAP pernah bersama mereka dalam kerajaan negeri," katanya.

Perkara itu ditegaskan ketika Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Stadium Tertutup EduCity, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan cuba mengaitkan BN Johor dengan DAP.

Jelasnya, tuduhan mengundi BN sama seperti menyokong DAP adalah fitnah dan rakyat Johor perlu membuat keputusan berdasarkan rekod pencapaian gabungan itu dalam mentadbir negeri.

Malah, Onn Hafiz turut mempertahankan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) dengan menyatakan program bantuan itu memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Katanya, kritikan terhadap fasa terbaharu program berkenaan menimbulkan persoalan kerana pelaksanaan fasa terdahulu tidak menerima bantahan walaupun turut menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Beliau berharap inisiatif bantuan itu dapat diteruskan dan diperluaskan sekiranya BN kembali diberi mandat mentadbir negeri.

Onn Hafiz turut mengajak rakyat Johor terus memelihara keharmonian yang sekian lama dinikmati negeri itu serta menolak sebarang retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

"Jangan nilai kami berdasarkan apa yang kami katakan, tetapi nilai kami berdasarkan apa yang kami lakukan," katanya.

Mengulas keputusan membubarkan DUN Johor pada 1 Jun lalu walaupun tempohnya hanya berakhir tahun depan, Onn Hafiz berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Katanya, pilihan raya yang diadakan pada waktu lain berkemungkinan bertembung dengan beberapa acara utama serta faktor bermusim.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri dijangka jatuh sekitar Mac tahun depan, manakala Februari pula perayaan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, musim Monsun Timur Laut pada penghujung tahun yang sering mengakibatkan banjir di beberapa kawasan Johor juga dianggap kurang sesuai untuk pelaksanaan pilihan raya.

"Rakyat Johor memahami realiti ini kerana mereka menghadapinya setiap tahun. Mereka yang berada di luar Johor mungkin tidak memahami sepenuhnya cabaran tersebut," katanya. -The Star

Artikel Lain