AMALAN meminum air yang dicampur dengan garam pada waktu pagi kini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan, khususnya melibatkan risiko terhadap fungsi buah pinggang.Trend tersebut melibatkan garam celtic yang kononnya untuk menambah mineral, menyahtoksin atau detoks badan dan menyeimbangkan asid. Namun tahukah anda sebenarnya ia boleh mendatangkan kesan buruk jika diamalkan tanpa pengetahuan betul.Menurut penjelasan Public Health Malaysia, terdapat peningkatan kes kemasukan ke hospital melibatkan masalah kerosakan organ, termasuk buah pinggang dikaitkan dengan pengambilan air garam secara berlebihan setiap hari.Secara saintifik, buah pinggang berfungsi sebagai penapis utama dalam badan yang menyingkirkan sisa buangan serta mengawal keseimbangan cecair dan elektrolit.Namun, pengambilan sodium berlebihan secara berterusan boleh menyebabkan organ tersebut bekerja lebih keras daripada biasa.Apabila paras sodium dalam darah meningkat, tubuh akan menahan lebih banyak air untuk mencairkannya.Keadaan ini boleh menyebabkan tekanan darah meningkat secara mendadak, sekali gus memberi beban kepada salur darah dalam buah pinggang.Jika berlarutan, kerosakan boleh berlaku secara berperingkat sehingga menjejaskan fungsi penapisan. Antara tanda awal termasuk bengkak pada kaki dan muka serta perubahan pada air kencing seperti berbuih.Jelasnya lagi, penggunaan garam termasuk garam celtic tidak menjadi masalah sekiranya digunakan dalam masakan pada kadar sederhana tetapi menjadikannya sebagai minuman harian atas alasan kesihatan adalah tidak disarankan.Sebaliknya, keperluan mineral dalam badan boleh diperoleh dengan lebih selamat melalui sumber makanan seperti sayur-sayuran hijau, kekacang dan buah-buahan.Dalam masa sama, air kosong kekal sebagai pilihan terbaik untuk memastikan tubuh kekal terhidrat tanpa memberi beban tambahan kepada organ penting seperti buah pinggang.Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan trend kesihatan tular tanpa merujuk sumber sahih atau mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu, bagi mengelakkan risiko kesihatan tidak diingini.