suria

Sental sampai luka pun tak hilang! Leher hitam bukan sebab daki, hati-hati tanda awal kencing manis

Bahagian tengkuk yang gelap boleh berlaku akibat gangguan metabolik dalam badan. -Gambar hiasan AI

RAMAI menyangka tompokan gelap di belakang leher hanyalah 'daki' degil akibat tidak digosok dengan betul ketika mandi. 

Ada yang sanggup menyental berkali-kali hingga kulit menjadi merah dan pedih, semata-mata mahu menghilangkan kesan tersebut. 

Namun hakikatnya, usaha itu bukan sahaja tidak berkesan malah boleh memudaratkan kulit.

Menurut Public Health Malaysia, kesan gelap di bahagian leher, ketiak atau pelipat badan bukanlah kotoran, sebaliknya petanda kepada masalah kesihatan dalaman.

Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai Acanthosis Nigricans, iaitu perubahan pada kulit yang berlaku akibat gangguan metabolik dalam badan.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan dan gaya hidup kurang sihat. 

Apabila seseorang kerap mengambil makanan dan minuman manis, tubuh akan menghasilkan hormon insulin dalam jumlah tinggi. 

Lama-kelamaan, sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin, sekali gus menyebabkan berlakunya rintangan insulin.

Lebihan insulin dalam darah kemudian merangsang pertumbuhan sel kulit secara tidak normal serta meningkatkan penghasilan pigmen melanin. 

Akibatnya, kulit di kawasan tertentu menjadi lebih tebal, bertekstur kasar seperti baldu dan berwarna gelap.

Justeru, penggunaan sabun pencerah atau menyental kulit secara berlebihan tidak akan menghilangkan kesan tersebut kerana puncanya datang dari dalam badan. 

Malah, Acanthosis Nigricans juga boleh menjadi tanda awal kepada risiko Diabetes Mellitus Jenis 2 atau kencing manis.

Sehubungan itu, jika mengalami masalah itu, disarankan untuk mengurangkan pengambilan gula selain mengamalkan gaya hidup sihat.

Melakukan pemeriksaan kesihatan juga penting jika berlaku masalah tersebut bagi mengelakkan komplikasi lebih parah. 

Artikel Lain