KETAKUTAN atau fobia terhadap sesuatu perkara mungkin kedengaran biasa, namun ada juga jenis fobia yang jarang didengar dan sukar difahami orang ramai.Seorang wanita dikenali sebagai Amber Fortuna mencuri perhatian apabila berkongsi perjalanan pemulihan dirinya daripada fobia terhadap buah-buahan di platform TikTok. Menerusi beberapa kompilasi video dimuat naik, dia mendokumentasikan proses pemulihan fobia terhadap buah-buahan yang sedang dilaluinya secara berperingkat.Dalam video terbaharu, Amber menunjukkan perkembangan apabila berjaya mencuba buah ke-33 iaitu jambu batu (guava), satu pencapaian dianggap besar buat dirinya.Sebelum ini, dia turut berkongsi video mencuba buah-buahan lain seperti tembikai, strawberi dan anggur. Kebanyakan rakaman memperlihatkan dia menangis ketika cuba menelan buah tersebut, namun tetap berusaha mengatasi ketakutan dialami.Pasangan Amber sering membantunya ketika mencuba makan buah-buahan tersebut.Lebih menyentuh hati, dalam satu video yang meraih lebih 31.5 juta tontonan, Amber dilihat cuba memakan nanas yang dipotong oleh suaminya. Pasangannya sentiasa berada di sisi sebagai tanda sokongan sepanjang proses tersebut.Sejak mula berkongsi perjalanan itu pada Julai tahun lalu, Amber kini berjaya mengumpul lebih 63,000 pengikut di TikTok.Menurut laman Phobia Fandom, fructophobia berasal daripada perkataan Latin 'fructus' yang bermaksud buah, merujuk kepada ketakutan terhadap buah-buahan.Individu yang mengalami masalah ini biasanya takut kepada buah atas sebab tertentu, antaranya kepercayaan terhadap biji buah boleh bercambah dalam badan atau kebimbangan terhadap kewujudan serangga dan cacing dalam buah tersebut.Penghidap fructophobia lazimnya akan mengelakkan bukan sahaja buah segar, malah produk berperisa buah seperti gula-gula dan minuman ringan.Antara simptom yang sering dialami termasuk sesak nafas, menggigil, menangis, menjerit, pengsan, degupan jantung meningkat, suhu badan naik, hilang kawalan diri, muntah serta keinginan untuk melarikan diri.Dari segi rawatan, fructophobia kebiasaannya dirawat melalui terapi tingkah laku dan penggunaan ubat anti-kebimbangan (anti-anxiety), namun pendekatan bantuan kendiri sering disarankan sebagai langkah awal.