BEKAS menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed antara 21,858 ahli baharu dan lama yang diterima semula menyertai Umno menerusi inisiatif Rumah Bangsa.Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli tersebut dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Jumaat. “Sejak parti membuka pendaftaran keahlian secara dalam talian pada 20 April hingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 10 Jun, seramai 21,858 ahli baharu, bekas pemimpin dan ahli Umno, serta pemimpin dari Bersatu di seluruh negara telah menyertai atau kembali menyertai parti ini.“Ini bermakna kita telah memperoleh jumlah keahlian sebanyak itu dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya.Asyraf berharap Umno akan terus diberkati dalam usaha memperkukuh peranannya dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.Mustapa, atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, meninggalkan Umno pada September 2018 selepas lebih 40 tahun bersama parti itu.Dia kemudian menyertai Bersatu pada bulan berikutnya, ketika parti itu berada dalam Pakatan Harapan.Mustapa mengumumkan persaraan daripada politik serta melepaskan keahlian dalam Bersatu dan semua jawatan partinya pada September 2024.Antara tokoh lain yang diterima menerusi inisiatif Rumah Bangsa termasuk Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mokhtar Samad.Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut kembali aktif dalam Umno selepas penggantungannya ditarik balik oleh parti. - The Star