Mahkamah mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikan kes yang mempunyai dakwaan berunsur mistik. -Gambar hiasan AI
DALAM melaksanakan pembuktian di mahkamah, peguam akan berhujah dan hakim akan membuat penilaian berdasarkan bukti yang bersandarkan kepada fakta, logik dan rasional.Namun bagaimana pula dengan kes melibatkan hujah serta pembuktian membabitkan perkara mistik seperti alam ghaib, hantu, sihir atau pun saka? Adakah mahkamah menerima pakai atau menolak terus hujah sedemikian bagi menilai dan membuat sesuatu keputusan?Mengulas mengenai persoalan tersebut, pengamal undang-undang, M. Arif Azmi menjelaskan, meskipun aspek dunia ghaib tidak diterima sebagai satu fakta perundangan, mahkamah tetap menilai perkara berkenaan dan kesannya terhadap sesuatu kes."Mahkamah tidak mengiktiraf kewujudan dunia ghaib sebagai satu fakta undang-undang."Bagaimanapun, ia mengakui kesannya terhadap fikiran, ketakutan dan keupayaan seseorang, yang mana secara tidak langsung boleh mempengaruhi keputusan sesuatu kes," katanya.Sehubungan itu, M. Arif turut berkongsi tiga contoh kes sebagai rujukan bagi menunjukkan bagaimana elemen dan hujah berunsur mistik diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan penghakiman.1. Pendakwa Raya lwn. Zakaria Kamaruddin (2018)Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Zakaria Kamarudin, mahkamah menegaskan bahawa dakwaan atau elemen alam ghaib tidak boleh dijadikan pelindung daripada hukuman jenayah seksual. Tertuduh cuba membela diri dengan memberi alasan bahawa tindakan fizikalnya hanyalah sebahagian daripada ritual mistik untuk "melepaskan saka" daripada tubuh mangsa. Walau bagaimanapun, hakim menolak hujah tersebut kerana undang-undang tidak menerima amalan tradisional yang meragukan sebagai lesen untuk mencabuli undang-undang. Akhirnya, mahkamah mengekalkan sabitan bersalah kerana dalihan mistik tersebut gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap bukti nyata pihak pendakwaan.2. Wang See Sooi lwn. Tan Yon Chia (2026)Dalam kes Wang See Sooi lwn. Tan Yon Chia, mahkamah menilai sama ada dakwaan sesuatu premis "berhantu" boleh dianggap sebagai fitnah. Hakim memutuskan untuk menolak tuntutan tersebut kerana menganggap cerita hantu hanyalah gosip kosong semata-mata. Sesuatu kenyataan hanya dikira fitnah jika ia benar-benar menjejaskan reputasi seseorang di mata masyarakat yang munasabah. Sebaliknya, mahkamah membenarkan isu "pelarian cukai" sebagai fitnah kerana tuduhan tersebut jelas memberi kesan buruk kepada integriti plaintif.