GARA-GARA perselisihan faham berhubung gambar profil di media sosial, seorang wanita tergamak menyerang suaminya menggunakan parang hingga lelaki itu mengalami kecederaan parah di leher dan tangan.Kejadian itu berlaku di kediaman pasangan berkenaan di Desa Mampu Baru dalam daerah Merangin, Jambi, Indonesia. Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Merangin, AKP Eka Putra Yuliesman Koto, pertengkaran bermula apabila mangsa menegur isterinya yang leka bermain telefon bimbit serta mempersoalkan mengapa suspek tidak meletakkan foto mereka bersama sebagai gambar profil.Suspek kemudian menukar gambar profilnya kepada foto bersama mereka berdua.Namun keadaan kembali tegang apabila si suami pula bertindak menukar gambar profilnya kepada foto dirinya sendiri.Pertengkaran semakin memuncak sebelum suspek mengambil sebilah parang dari bahagian belakang rumah lalu menyerang suaminya di ruang tengah.Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan."Berdasarkan pemeriksaan doktor, mangsa menerima 50 jahitan akibat luka di leher," katanya.Polis kemudian menahan suspek bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.Hasil siasatan mendapati insiden itu dipercayai turut berpunca daripada rasa marah dan sakit hati yang telah lama dipendam suspek.Suspek mendakwa suaminya sering melakukan keganasan rumah tangga serta mengeluarkan kata-kata kesat sepanjang perkahwinan mereka.Susulan kejadian itu, suspek berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 466(2) Kanun Keseksaan Indonesia, berdasarkan Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun. -Agensi