PERKAHWINAN kali kedua seorang wanita berakhir tragedi apabila suami baharunya didakwa dibunuh anak sendiri yang tidak merestui hubungan mereka.Lebih mengejutkan, anak lelakinya yang baru berusia 22 tahun itu sanggup terbang pulang dari New Zealand sebelum merancang pembunuhan bapa tirinya, Navjot Singh, 25, bersama seorang sepupu. Kejadian berlaku di luar pusat servis kereta milik mangsa di Rampur, Uttar Pradesh, India pada petang Sabtu.Malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai menunjukkan dua lelaki tiba menaiki kereta sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa.Susulan serangan berkenaan, mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami.Suspek, Avdeep Singh, dan sepupunya, Rajandeep Singh, 23, ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan.Penolong Superintenden Polis Tambahan Rampur, Anurag Singh berkata, Avdeep memberitahu penyiasat dia tiba di India pada 22 September lalu sebelum tinggal di hotel dan rumah sepupunya.Kedua-duanya didakwa merancang pembunuhan tersebut, manakala polis turut menyiasat kemungkinan penglibatan individu lain.Polis juga dilaporkan menemukan dua pistol buatan sendiri serta peluru daripada suspek.Untuk rekod, mangsa berkahwin dengan ibu suspek, Kamal Kaur, 49, pada Januari lalu.Kedua-dua suspek dipercayai berpindah ke New Zealand selepas kematian bapa mereka kerana membantah perkahwinan tersebut. -Agensi