suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Dia buat OT tanpa bincang” - Lelaki mengamuk di tempat kerja isteri cerita situasi sebenar, ada sebab nak marah

Hakeem kecewa dengan penularan video membabitkan dia dan keluarga tanpa mengetahui situasi sebenar.

LELAKI yang tular kerana memarahi isterinya di tempat kerja akhirnya secara terbuka tampil menjelaskan dia bertindak sedemikian kerana tertekan.

Menceritakan situasi sebenar kepada mStar, Mohd Hakeem Latif, 32, mendakwa tindakannya mengamuk dan meninggikan suara seperti yang dirakam dalam video berkenaan adalah kerana isterinya secara tiba-tiba mahu menyambung kerja lebih masa (OT) ketika dia sendiri sudah lewat untuk masuk kerja.

Jelasnya, kejadian yang dirakam itu sebenarnya berlaku ketika dia masih bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel di Johor dan dijadualkan memulakan syif tugasannya tepat pada pukul 7 malam.

Menurutnya, rutin hariannya adalah mengambil isterinya yang bekerja syif pagi di sebuah restoran makanan segera di Senai, Johor sebelum menghantarnya pulang ke rumah.

Namun pada hari kejadian sekitar pukul 6 petang, isterinya yang berusia 37 tahun itu memaklumkan mahu menyambung kerja lebih masa, sekali gus menyebabkan jadual hariannya terjejas dan dia bakal terlewat untuk ke tempat kerja.

"Saya sudah beritahu kepada isteri nak ambil dia balik pukul berapa. Tapi masa saya dah sampai tu baru dia cakap nak sambung OT lagi sejam tanpa bincang dan maklumkan lebih awal. Itu yang buat saya marah.

Tangkap layar video tular yang dirakam tanpa pengetahuan Hakeem dan isterinya.

Tangkap layar daripada video Hakeem memarahi isterinya yang tular di media sosial.

"Masa tu saya sudah lewat nak masuk kerja. Sebab tu saya mengamuk tapi tak sangka pula ada orang rakam.

"Isteri tak ada kenderaan sendiri, jadi saya yang kena hantar dan ambil dia," ujarnya kepada mStar.

Menurut Hakeem lagi, kejadian itu sebenarnya sudah lama berlaku iaitu beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri pada Mac lalu.

Justeru dia hairan mengapa baru sekarang ia ditularkan di media sosial

Katanya, dia hanya menyedari mengenai kewujudan rakaman itu selepas dimaklumkan sendiri oleh isterinya sebaik sahaja bangun daripada tidur ekoran menerima banyak panggilan telefon daripada kenalannya yang bertanyakan hal sama.

"Saya tak faham kenapa orang tu viralkan sekarang sedangkan kejadian tu berlaku masa hari raya hari tu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siap angkat tangan nak pukul! Suami terjerit-jerit depan restoran, paksa isteri kerja ‘fast food’ balik jaga anak

"Ini kali pertama saya tengok video tu. Bangun tidur, tengok di telefon sudah terima banyak panggilan. Saya tahu pun pasal video tu selepas isteri beritahu," katanya.

Dalam pada itu bapa kepada seorang cahaya mata berusia dua tahun itu turut menyangkal keras dakwaan netizen yang menuduh dia mengasari anaknya seperti digambarkan dalam video tersebut.

Sebaliknya, Hakeem menjelaskan anak lelakinya menangis selepas terjatuh ketika berlari sebaik diturunkan daripada motosikal.

"Saya bawa anak dari rumah. Saya turunkan anak daripada motosikal, lepas tu dia berlari sana sini kemudian terjatuh dekat lantai. Itu yang dia menangis.

"Saya tak pukul anak pun. Anak pun okey je, tak trauma pun dengan saya selepas kena marah tu," katanya yang kini bekerja di sebuah premis makanan segera di Kulai.

  • Suami tampil jelas punca marah isteri di tempat kerja.
  • Nafi pukul anak, dakwa kanak-kanak terjatuh.
  • Video lama Aidilfitri, baru tular.
  • Dakwa hubungan dengan isteri masih baik.
  • Mohon maaf, kesal video disebarkan.

Tegas Hakeem, dia mengakui perlu memaksa isterinya pulang selepas jadual kerja sebenar wanita itu berakhir kerana faktor masa yang mendesak untuk segera bergegas ke tempat kerja.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa hubungan rumah tangga mereka berdua sehingga kini masih berada dalam keadaan baik, malah isterinya juga memahami situasi tertekan yang dihadapinya pada hari kejadian.

"Saya paksa isteri balik ke rumah sebab saya pula nak pergi kerja. Tak perlu buat OT. Lepas kejadian, hubungan kami okey saja sebab dia faham situasi saya masa tu," katanya yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Dalam pada itu, Hakeem berkata dia tampil memberikan penjelasan bagi memperbetulkan pelbagai tanggapan yang timbul selepas video berkenaan tular.

Katanya, dia juga kesal rakaman tersebut disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab tanpa mengetahui situasi sebenar.

Video kedua berakhir dengan wanita itu dilihat membonceng motosikal bersama suami dan anaknya.

Ketegangan pasangan itu berakhir apabila mereka dilihat meninggalkan lokasi kejadian.

"Saya cuma nak tampil untuk betulkan balik tentang segala spekulasi timbul. Masa emosi tengah marah kita memang tak sedar.

"Lagipun keadaan menekan-nekan waktu tu. Apa-apa pun saya ambil peluang ni nak minta maaf dekat semua orang yang tengok video tu sampai marah-marah saya.

"Saya rasa tak patutlah orang sebarkan video tu. Sepatutnya dia tanya dulu apa masalah kami masa kejadian tu," katanya.

Hakeem berharap penjelasan tersebut dapat memberi gambaran sebenar mengenai insiden berkenaan selepas pelbagai andaian dibuat oleh orang ramai di media sosial.

Artikel Lain