Onn Hafiz menjelaskan dia berpegang kepada prinsip serta amanah terhadap institusi diraja dan rakyat Johor.
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyangkal dakwaan dia bersikap sombong seperti dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Sebaliknya beliau menegaskan bahawa segala tindakannya selama ini adalah demi berpegang kepada prinsip serta amanah terhadap institusi diraja dan rakyat Johor. Justeru Menteri Besar Johor itu berkata, keputusan BN Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat berdasarkan suara majoriti rakyat negeri itu dan bukannya kerana keengganan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika menyampaikan ceramah Pakatan Harapan (PH) di Bakri, Muar pada Isnin.Dalam ucapannya Anwar menggesa rakyat Johor memilih kepimpinan negeri yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan."Saya mengambil maklum pandangan Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan."Suka saya ingatkan, pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor."Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip serta mendengar suara majoriti bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?" katanya menerusi hantaran di Facebook.Mengulas lanjut, Onn Hafiz menegaskan bahawa beliau dan saf kepimpinan kerajaan negeri tidak pernah sesekali menutup pintu rundingan, bersikap sombong untuk bekerjasama, mahupun angkuh dalam menerima pandangan serta bantuan daripada pihak Persekutuan.Sebaliknya, beliau menjelaskan situasi sebenar di mana kerajaan negeri pimpinannya sentiasa proaktif membantu melengkapi pelbagai usaha kementerian di peringkat Persekutuan, terutamanya melibatkan portfolio penting seperti pendidikan, keselamatan, pertahanan, dan kesihatan demi kepentingan rakyat.Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada sekolah, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera, hospital serta klinik walaupun ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan."Malah apabila hasil negeri meningkat, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor."Kami berbuat demikian kerana yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat."Bukan niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Tetapi saya ingin bertanya, dalam perkara apakah Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?" katanya.