PERTEMBUNGAN antara sebuah kereta dengan lori membawa muatan durian menyebabkan dua lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Lipis-Benta, Pahang pada Selasa malam.Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, empat lelaki terlibat dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.20 malam itu. Kereta itu dipandu oleh Ng See Jou, 47, yang membawa tiga lelaki warga China dalam perjalanan dari Kelantan menuju Kuala Lumpur.Lori yang membawa muatan durian itu pula dipandu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, dalam perjalanan dari Raub ke Kelantan."Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan lori."Akibat perlanggaran itu, Ng See Jou dan seorang penumpang warga China yang masih belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," ujarnya dalam satu kenyataan.Tambah Ismail, dua lagi penumpang warga China serta pemandu lori yang terselamat dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.