suria

[V] Wanita bawa pisau sertai ‘Rain Rave’, saksi sempat rakam - “Dia cuba tikam seorang pakcik”

Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita memegang pisau dalam kejadian di Bukit Bintang.

SEORANG wanita tempatan berusia 28 tahun ditahan selepas dipercayai cuba mencetuskan kekecohan sambil memegang sebilah pisau ketika hadir di malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang, Sabtu malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek ditahan selepas polis mendapati dia membawa senjata berbahaya dan pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap wanita berkenaan.

Motif dia bertindak sedemikian masih dalam siasatan.

Terdahulu, tular satu rakaman video [Tonton Video] di media sosial memaparkan suasana cemas apabila seorang wanita dilihat memegang pisau sambil cuba ditenangkan orang awam di lokasi kejadian.

Dalam video tersebut, kelihatan seorang lelaki cuba menghalang wanita terbabit daripada bertindak ganas.

Wanita itu kemudiannya dilihat bergelut untuk melepaskan diri sambil tangan kirinya masih memegang pisau berkenaan sebelum beberapa individu lain tampil membantu.

Menurut pemilik video, dia pada awalnya sedang mencari rakannya sebelum menyedari wanita tersebut mengeluarkan pisau dan dipercayai cuba menyerang seorang lelaki.

"Saya sedang mencari kawan, tiba-tiba seorang wanita mengeluarkan pisau dan cuba menikam seorang pakcik. Saya tidak tahu sebab apa wanita itu buat macam tu.

"Di kiri, kanan dan belakang saya semuanya berpagar jadi memang tiada tempat untuk lari. Saya berada sangat dekat dengannya dan sangat takut dia akan menyerang kerana saya satu-satunya orang di hadapannya.

"Satu-satunya perkara yang saya mampu lakukan ketika itu adalah merakam apa yang berlaku," katanya.

Dia turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menghadiri acara besar seperti itu kerana pengalaman berkenaan sangat menakutkan.

Keadaan akhirnya berjaya dileraikan selepas beberapa anggota pihak berkuasa tiba di lokasi dan mengawal situasi.

Artikel Lain