suria

Laju JPN buat kerja… Wanita baru lahirkan anak tak sah taraf lega nasib si kecil terbela, siap jaminan hak warganegara

Anak tak sah taraf juga berhak untuk membesar seperti kanak-kanak biasa. -Gambar hiasan AI

APABILA berada dalam keadaan terdesak, segelintir individu mungkin terdetik untuk melakukan perkara di luar jangkauan akal.

Misalnya bagi mereka yang melahirkan anak luar nikah, ada yang bertindak membuang bayi kerana bimbang pelbagai 'masalah' bakal muncul di kemudian hari.

Seorang wanita yang baru melahirkan anak tidak sah taraf turut tampil meminta pendapat orang ramai berhubung langkah untuk mendaftarkan bayinya.

"Nak tanya, saya baru sahaja lahirkan seorang puteri. Tetapi dia anak tidak sah taraf. Saya cuma nak tahu bagaimana proses daftar kelahirannya?

"Terus pergi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau kena pergi Pesuruhjaya Sumpah dulu?" tulis wanita itu menerusi aplikasi Threads.

Tangkap layar respons JPN kepada pertanyaan wanita itu.

Tanpa disangka-sangka, akaun rasmi JPN iaitu JPNHQ Official sendiri tampil memberikan penjelasan pada hantaran yang dimuat naik wanita itu.

Dalam jawapan balasnya, JPN menggesa wanita itu segera mendaftarkan kelahiran bayinya dan meminta dia tidak khuatir memikirkan isu-isu lain.

"Boleh terus daftar dekat JPN. Jangan lebih 60 hari daripada kelahiran ya. Tentang pilihan nama, hak ibu tau letak binti atau tidak.

"Yang penting daftar lahir anak untuk elak isu kemudian hari. By the way, anak kepada ibu warganegara (WN) Malaysia, akan automatik dapat WN Malaysia juga ya. 

"Jadi jangan khuatir isu lain, janji hak anak diberikan dulu ya," jawab pengendali akaun rasmi JPN.

Rata-rata pelayar Threads memuji respons JPN terhadap wanita itu, sekali gus memberi kelegaan buatnya yang sedang susah hati memikirkan anaknya.

"Ini buat kita lebih sayang kepada JPN. Informasi disampaikan dengan tepat dan senang difahami.

"Bagusnya balas macam ni. Sangat membantu, terasa lega untuk si ibu," tulis netizen.

Artikel Lain