suria

Seronok duduk rumah kampung, boleh bakar daun kering... Ramai tak sedar risiko kanser paru-paru, asma

Segelintir penduduk kampung membakar sampah secara terbuka di laman rumah mereka. -Gambar hiasan AI

DI Malaysia, khususnya bagi mereka yang tinggal di kampung, halaman rumah biasanya menjadi ruang sangat penting. 

Di sinilah pokok buah-buahan dan tanaman hiasan ditanam, selain menjadi tempat berkumpul keluarga. 

Dalam rutin harian juga, amalan membersihkan halaman dengan mengumpul daun kering, ranting dan sampah bukan sesuatu yang asing.

Namun, apa sering dianggap perkara biasa ialah membakar daun-daun kering dan sampah tersebut di kawasan terbuka. 

Ia sudah lama menjadi amalan mudah untuk “membersihkan” halaman dengan cepat. 

Sampah sarap sepatutnya dilupuskan mengikut cara yang betul. -Gambar hiasan AI

Kesan buruk

Tetapi ramai yang tidak sedar tabiat ini boleh membawa risiko kesihatan yang serius, terutama kepada sistem pernafasan dan jantung.

Menurut laman sesawang perkhidmatan kesihatan Amerika Syarikat Atrium Health, salah satu kesan utama ialah peningkatan simptom asma. 

Dianggarkan sekitar satu daripada enam orang mempunyai jenis asma boleh dicetuskan oleh asap daripada pembakaran daun, termasuk partikel halus dan bahan bakar digunakan untuk menyalakan api. 

Selepas terhidu asap, seseorang mungkin mula batuk, mengalami sesak nafas, dada terasa ketat atau tidak selesa, menurut Dr Jaspal Singh, pakar perubatan respiratori Atrium Health.

Tambah Dr Singh lagi, pendedahan kepada asap juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung. 

Pencemaran udara daripada pembakaran daun, terutama partikel halus yang terhasil, boleh memberi kesan kepada jantung dan paru paru. 

Ia bukan sahaja berisiko mencetuskan serangan jantung, malah boleh memburukkan keadaan bagi mereka yang sudah mempunyai penyakit jantung atau paru paru seperti COPD dan emfisema.

Selain itu, menyedut asap juga boleh menyebabkan keracunan karbon monoksida. 

Gas ini tidak berbau tetapi sangat berbahaya kerana boleh mengurangkan jumlah oksigen dalam darah dan paru paru. 

Asap pembakaran juga mengandungi bahan kimia lain yang berpotensi menyumbang kepada risiko kanser paru paru jika terdedah secara berulang.

Dalam kes paling teruk, pendedahan kepada asap ini boleh menyebabkan serangan asma, serangan jantung atau keracunan karbon monoksida yang boleh membawa maut, terutamanya jika berlaku dalam ruang tertutup. 

Dr Singh turut menegaskan pendedahan besar boleh membawa akibat yang sangat serius, termasuk kematian.

Artikel Lain