Arwah Azim Haikal telah selamat disemadikan pada pukul 10 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
PENUNGGANG p-hailing yang maut dirempuh pemandu Proton X70 di Jalan 17/21 Petaling Jaya, Selangor pada Selasa dilaporkan sedang menghitung hari meraikan hari konvokesyen yang bakal berlangsung tiga minggu lagi.Menerusi perkongsian @faizalroadtofit di Threads, mangsa Azim Haikal Noor Aziddin berusia lingkungan 20-an merupakan mahasiswa di Universiti Islam Selangor (UIS). "Arwah yang terlibat kemalangan ketika sedang bekerja sebagai rider, perginya ketika mencari rezeki."Lebih menyentuh hati, arwah hanya berbaki sekitar tiga minggu lagi untuk konvokesyen," kongsinya yang juga jiran kepada mangsa.Faizal dalam hantaran sama turut memaklumkan jenazah Allahyarham selamat disemadikan sekitar pukul 10 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial (PMFSS) UIS memaklumkan arwah Azim Haikal merupakan penuntut Diploma Komunikasi di Fakulti Sains Sosial UIS."PMFSS ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas kehilangan yang amat dirasai ini."Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," tulis wakil persatuan berkenaan.Dalam perkembangan sama, polis memaklumkan siasatan lanjut mendapati pemandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an hilang kawalan akibat kecuaian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum merempuh mangsa di laluan bertentangan.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mangsa dipercayai sedang bekerja ketika kejadian berlaku sekitar 1.23 petang itu.“Siasatan mendapati pemandu mempunyai lesen memandu yang sah dan telah ditahan bagi membantu siasatan.“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing dan alkohol yang dijalankan ke atas pemandu didapati negatif,” katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, pemandu berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan selain mempunyai penyakit.