suria

Hujan lebat berterusan lebih sejam punca banjir kilat di PJ, KL

Hujan lebat di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur menyebabkan beberapa jalan utama ditenggelami air.

HUJAN lebat berterusan selama lebih sejam sekitar pukul 3.30 pada petang Rabu menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, sekali gus mengganggu aliran trafik di laluan utama.

Menurut laporan, antara kawasan terjejas teruk termasuk Jalan 51a/223, Seksyen 51a Petaling Jaya, yang sekali lagi dinaiki air hanya dua minggu selepas kejadian sama berlaku pada 20 April lalu.

Kejadian banjir turut menyebabkan air melimpah ke kawasan kaki lima dan premis perniagaan.

Dalam satu rakaman tular di media sosial, kelihatan seorang individu cuba berenang dalam kawasan banjir yang dinaiki air deras.

Bangunan ibu pejabat Amway di Jalan 223, Petaling Jaya turut dilaporkan terjejas akibat limpahan air.

Sebuah medan selera di Petaling Jaya, Selangor turut terjejas akibat banjir kilat. -Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor

Sebuah medan selera di Petaling Jaya, Selangor turut terjejas akibat banjir kilat. -Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor

Sementara itu, di sebahagian Lebuhraya Pantai Baru (NPE), laluan KM18.9 arah Bangsar terpaksa ditutup susulan banjir kilat yang menenggelamkan beberapa lorong utama.

Trafik dilaporkan bergerak perlahan kira-kira satu kilometer.

Di ibu kota, Jalan Kuchai Lama turut kembali dinaiki air, mengulangi insiden sama yang pernah berlaku pada 2022.

Selain itu, kawasan Jalan Sepadu, Taman United turut terjejas apabila air melimpah dari longkang ke kawasan pejalan kaki di deretan kedai.

Keadaan lebih buruk dilaporkan di Lebuhraya Kesas berhampiran Plaza Tol Awan Besar, apabila banjir kilat menyebabkan kesesakan teruk dari arah Kinrara menuju pusat bandar.

Beberapa kenderaan dilaporkan separa tenggelam dengan paras air mencecah sehingga paras tayar, terutama di kawasan berhampiran laluan keluar Jalan Klang Lama–Bukit Jalil.

Turut terjejas ialah kawasan bawah jejambat di Jalan 3/155 dan Jalan Awan Cina, di mana beberapa kereta dilihat terkandas dalam air yang semakin naik.

Setakat laporan ini, keadaan masih terkawal namun aliran trafik perlahan di beberapa lokasi utama.

Pihak berkuasa trafik dilaporkan sedang mengawal keadaan di lokasi terjejas.

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati, mengelakkan kawasan banjir serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk. -The Star

Artikel Lain