suria

OPR mungkin naik hujung tahun ini, kali terakhir pada 2023

Kali terakhir Bank Negara Malaysia menaikkan OPR adalah pada 2023. -Gambar hiasan

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis, namun mungkin menaikkan kadar berkenaan lewat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas bersama Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, walaupun ia dijangka kekal buat masa ini, terdapat kemungkinan kadar faedah dinaikkan pada akhir tahun ini berdasarkan perkembangan ekonomi semasa.

Menurutnya, perkara paling ketara kali ini ialah MPC perlu mempertimbangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah kerana BNM tidak menaikkannya sejak Mac 2023.

“Ekonomi menunjukkan ketahanan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama dianggarkan 5.3 peratus, walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan bahawa inflasi dijangka meningkat secara sederhana selari dengan pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran BNM menunjukkan inflasi boleh mencecah 2.5 peratus pada tahun 2026.

Tambahnya, antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan dasar monetari termasuk kenaikan harga minyak global yang boleh meningkatkan inflasi, serta potensi kesan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat yang boleh menjejaskan eksport negara.

“Walaupun terdapat risiko tersebut, ia tidak dijangka mengubah keputusan MPC pada mesyuarat 7 Mei ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kashif berkata kadar OPR yang stabil turut menyokong sektor hartanah dengan memastikan kadar pinjaman kekal terkawal dan bayaran gadai janji lebih stabil kepada pembeli rumah.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasaran hartanah masih menunjukkan permintaan kukuh, khususnya bagi kediaman dalam lingkungan harga RM300,000 hingga RM600,000 di kawasan pinggir Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Johor, katanya, terus menjadi tumpuan utama apabila mencatatkan peningkatan harga rumah sebanyak 6.9 peratus tahun lalu, tertinggi di negara ini, disokong pembangunan infrastruktur dan hubungan rentas sempadan. -The Star

Artikel Lain