SEORANG wanita warga emas ditemukan maut dengan beberapa kesan tetakan terbaring dalam sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Perak pada Isnin malam.Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10 malam selepas dihubungi anak mangsa. Menurutnya, mangsa berusia 70 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.Pemeriksaan awal mendapati ada beberapa kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala serta leher mangsa.Susulan kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga jiran mangsa diberkas di sekitar lokasi bagi membantu siasatan.Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian turut menemukan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Kata Najib, suspek pernah dihantar menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu.Motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa 0dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.Dalam pada itu, dia menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.