suria

“Ingat kita ni lori sampah?” - Lelaki terkilan kawan jemput hadir kenduri sebab makanan tak habis, beria-ia suruh datang

Jemputan dibuat pada saat akhir boleh menyebabkan sesetengah individu berasa tersinggung -Gambar hiasan AI

MENJEMPUT tetamu ke majlis kenduri sepatutnya dibuat dengan penuh ikhlas, namun lelaki ini merasakan sesuatu yang berbeza.

Menerusi hantaran di media sosial, dia meluahkan rasa terkilan apabila pelawaan yang diterima daripada rakannya sendiri seolah-olah sekadar melepaskan batuk di tangga.

Menurutnya, dia terkilan apabila menerima undangan ke majlis akikah hanya selepas lima jam majlis berkenaan berlangsung.

Situasi itu membuatkan dia berasa kerdil, seolah-olah dirinya hanya dipanggil untuk menjadi 'penyelamat' bagi menghabiskan lebihan makanan yang sudah berbaki.

"Ada seorang kawan aku ni jemput makan kenduri akikah. Majlis mula pukul 10 pagi tapi pukul 3 petang baru aku dapat jemputan daripada dia.

"Jadi aku beritahu dia yang aku tak pasti lagi boleh datang ke tidak majlis tersebut," ceritanya dalam satu hantaran di Threads.

Majlis kenduri merupakan medium penting dalam mengerat dan memperkukuh hubungan sesama manusia. -Gambar hiasan

Majlis kenduri merupakan medium untuk mengeratkan hubungan sesama manusia. -Gambar hiasan

Katanya lagi, apa yang membuatkan hatinya tergores ialah rakannya itu dilihat rancak memuat naik gambar suasana majlis sejak pagi lagi.

Namun, rasa kecewa itu mencapai kemuncaknya apabila si rakan sekali lagi menghantar mesej semata-mata untuk menagih kepastian, atas alasan makanan masih banyak berbaki.

"Selang satu jam kemudian, kawan aku tu hantar mesej dekat WhatsApp lagi. Dia tanya... datang ke bro? Makanan banyak tak habis lagi ni.

"Terus aku beritahu dekat dia yang aku memang tak datang," ceritanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sedih majlis akikah ‘sendu’, kehadiran tak sampai separuh... Jemputan bagi alasan malu sebab ‘freehair’, tiada baju putih

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita geram keluarga ‘hijack’ kenduri akikah, pandai-pandai jemput kenalan sendiri! Duit tak hulur, siap minta tambah ‘goodies’

Di ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju bahawa tindakan menjemput seseorang hanya apabila makanan 'tak laku' merupakan satu perkara yang cukup sensitif.

"Teruk betul perangai. Apabila makanan tak habis baru kau dijemput," tulis seorang netizen.

Malah, ada yang turut berkongsi pengalaman serupa yang jauh lebih pedih.

"Pernah alami. Aku tak datang. Lepas tu dia boleh pula mesej suruh datang ambil makanan ada banyak lebih. Aku baca je mesej tu. Ingat aku hamak betul," kata pengguna media sosial lain.

  • Lelaki terkilan dijemput kenduri akikah pada saat akhir.
  • Dia merasakan dirinya sekadar dipanggil habiskan lebihan makanan.
  • Rakannya turut menghantar mesej mengatakan makanan masih banyak berbaki.
  • Namun, dia tidak 'block' rakannya kerana hal itu.
  • Netizen menganggap tindakan tersebut boleh menyinggung perasaan.

Seorang lagi netizen meluahkan rasa geram apabila diperlakukan seperti itu oleh penduduk dalam kawasan perumahan sendiri.

"Saya kena macam ni juga. Dia jemput semua satu blok (kawasan perumahan). Orang dah siap makan baru ajak kita. Ayat dia... mai la makanan banyak lagi ni tak habis. Dia ingat kita ni ayam ke," komen beberapa netizen.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang cuba bersangka baik dengan cuba memahami kenapa jemputan tersebut tidak dibuat lebih awal.

"Selalunya kes macam ni bukan tuan rumah terlupa nak jemput. Dia takut tak cukup kalau jemput ramai. Tapi apabila banyak makanan tak habis baru nak jemput.

"Sudah pastilah kita tak datang. Dia ingat kau lori sampah mungkin, tukang habiskan," komen netizen tersebut.

Artikel Lain