suria

“Tendang orang macam tu je!” Wanita sakit hati, rasa teraniaya selepas slot letak cucuk-cucuk bebola ‘disailang’ kroni kedai

Ramai golongan isteri mengambil peluang berniaga untuk jana pendapatan sendiri. -Gambar hiasan AI

SESUNGGUHNYA rezeki memang sudah diatur Allah, namun kejujuran dan sikap timbang rasa penting agar tiada pihak yang akan rasa dianiaya terutama jika melibatkan punca pendapatan yang sudah lama diusahakan.

Begitulah luahan seorang wanita yang terkilan apabila tempatnya menghantar makanan 'cucuk-cucuk' berasaskan bebola diambil alih individu lain tanpa penjelasan daripada pemilik kedai makan yang menjual sarapan pagi.

Menerusi satu hantaran di Threads, wanita itu berkata dia sudah lama menghantar cucuk-cucuk ke premis berkenaan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti sementara sepanjang bulan Ramadan lalu.

Setiap peniaga berdepan dengan dugaan termasuk berniaga secara kecil-kecilan. -Gambar hiasan AI

"Saya ada hantar cucuk-cucuk bebola dekat kedai sarapan pagi. Tapi bulan puasa hari itu saya tak hantar buat sementara.

"Kemudian lepas habis raya saya dah beritahu nak hantar semula. Masa tu saya dah nampak dia up (muat naik) status dekat WhatsApp jual cucuk-cucuk.

"Akak tu cakap buat sementara waktu dia sendiri goreng cucuk-cucuk. Dia ada maklumkan hanya perlu beritahu apabila saya nak hantar semula," ceritanya.

Justeri menerusi perbualan di WhatsApp, dia memaklumkan bercadang untuk kembali berniaga pada hujung Mei dan meminta pemilik kedai itu menghabiskan terlebih dahulu stok sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai pemilik bisnes F&B 'bergelut' nak maju, ini 6 langkah mudah tapi padu ganda 'sales' hingga 5 kali ganda

ARTIKEL BERKAITAN: Kempunan nak makan cukuk-cucuk depan KLCC, wanita ini tersungkur jatuh e-skuter... Dapat 5 jahitan di kepala

Bagaimanapun kini dia kecewa apabila dimaklumkan tempatnya itu sudah diambil alih individu lain iaitu ibu kepada pemilik gerai tersebut secara tetap.

"Saya ada mesej akak tu beritahu nak masuk hantar cucuk-cucuk semula. Tapi dia cakap mak dia dah buatkan. Allah... perit rasanya apabila rezeki yang Allah dah atur elok, tiba-tiba dirampas oleh manusia macam ni.

"Sakit hati sangat. Bukan tak percaya pada rezeki tapi cara tu tak betul. Terus tendang orang macam tu je," ujarnya lagi.

  • Wanita terkilan tempat hantar cucuk-cucuk bebola diambil alih orang lain.
  • Dia berhenti sementara sepanjang Ramadan sebelum mahu berniaga semula hujung Mei.
  • Pemilik kedai memaklumkan tempat itu sudah diisi ibu mereka secara tetap.
  • Situasi itu membuatkan dia berasa rezekinya dirampas tanpa timbang rasa.
  • Netizen menasihati agar terus percaya setiap penolakan ada hikmah lebih baik.

Perkongsiannya itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memahami perasaannya dan menyifatkan tindakan mengambil slot niaga orang tanpa penjelasan sebagai sesuatu yang tidak manis.

"Saya pun pernah kena. Letak kek chocolate moist dekat kedai roti. Lama letak di situ dan bersyukur stok laju sangat. Kadang-kadang setiap hari kena tambah stok baru.

"Tiba-tiba tuan kedai beritahu tak perlu letak dah. Adiknya nak letak kek coklat moist dia.

"Percayalah, Allah sebenarnya sudah atur jalan rezeki jauh lebih baik untuk awak. Setiap penolakan adalah petunjuk ke arah jalan yang lain," ujar seorang netizen yang turut berkongsi pengalaman.

Artikel Lain