suria

Bukan sekadar cari jalan! Fungsi tersembunyi Google Maps ini boleh selamatkan nyawa kalau kena culik atau hilang

Orang ramai boleh menggunakan aplikasi tertentu untuk memantau perjalanan ahli keluarga. -Gambar hiasan AI

KES orang hilang, penculikan dan jenayah yang tidak dijangka sering membuatkan ahli keluarga risau setiap kali kita keluar bersendirian.

Menurut seorang jurutera perisian kecerdasan buatan (AI), Azrul Aunn, orang ramai boleh menggunakan satu fungsi yang terdapat dalam Google Maps.

Menurutnya, fungsi itu bertindak seperti 'bodyguard' digital yang menjaga keselamatan pengguna secara senyap.

Dalam hantaran di Threads, Azrul berkata ramai yang hanya mengenali Google Maps sebagai aplikasi untuk mencari arah perjalanan. 

Namun sebenarnya, terdapat satu fungsi keselamatan yang agak berguna tetapi kurang dimanfaatkan iaitu live location sharing atau perkongsian lokasi secara langsung.

Google Maps boleh jadi 'mata' kepada waris

Menurut Azrul, fungsi ini membolehkan seseorang berkongsi lokasi mereka secara masa nyata kepada individu yang dipercayai seperti ahli keluarga atau pasangan. 

Ini bermaksud, setiap pergerakan akan dapat dilihat secara langsung di dalam peta oleh waris yang dipilih.

Orang ramai perlu memaklumkan kepada keluarga atau kenalan jika keluar berseorangan, apatah lagi pada waktu malam. -Gambar hiasan AI

Antara perkara yang dikongsikan:

1. Pergerakan pengguna boleh dipantau secara live di Google Maps

2. Lokasi akan bergerak mengikut perjalanan semasa

3. Waris boleh nampak jika pergerakan terhenti secara tiba tiba

Boleh tahu status telefon juga

Menariknya, Azrul turut menyebut fungsi ini bukan sekadar paparan lokasi. 

Ahli keluarga juga boleh melihat status peranti seperti baki bateri telefon. 

Jika telefon mati atau kehilangan rangkaian, waris akan dapat tahu lebih awal dan boleh bertindak jika berlaku sesuatu yang tidak normal.

Dia menyifatkan fungsi ini sebagai “real time monitoring” yang boleh membantu dalam situasi kecemasan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada mesej atau panggilan telefon.

Cara aktifkan fungsi ini

1. Buka aplikasi Google Maps

2. Tekan gambar profil di bahagian atas

3. Pilih Location Sharing

4. Tambah individu yang dipercayai

5. Aktifkan perkongsian lokasi secara langsung

Artikel Lain