LAMAN rangkaian sosial Friendster mengumumkan kemunculan semula selepas lebih sedekad platform itu ditutup dengan fokus baharu menggalakkan interaksi dunia sebenar berbanding penglibatan digital semata-mata.Laman web Friendster mula didaftarkan pada 22 Mac 2002 menghentikan operasi pada 2015, sebelum syarikat itu ditutup secara rasmi pada 2018. Domain berkenaan kekal tidak aktif selama beberapa tahun sebelum dibeli oleh usahawan Mike Carson dalam satu urus niaga peribadi selepas ia muncul dalam lelongan domain tamat tempoh.Dalam satu hantaran, Carson mendedahkan domain itu pada awalnya dibeli oleh pembeli lain pada harga AS$7,456 sebelum dijual kepadanya melalui perjanjian melibatkan AS$20,000 dalam Bitcoin serta satu lagi domain menjana pendapatan pengiklanan. Carson kemudiannya memperoleh tanda dagang Friendster pada 13 Mei 2025 selepas melalui proses undang undang.Pada April 2026, platform itu dilancarkan semula di bawah Friendster Labs Inc. dengan konsep baharu yang bertujuan menangani kebimbangan terhadap persekitaran media sosial yang dipacu algoritma.Suatu masa dulu, kebanyakan anak muda akan ke kafe siber bagi mengakses Friendster. -Gambar hiasan AIVersi baharu Friendster memperkenalkan beberapa ciri yang direka untuk mengutamakan interaksi luar talian. Platform itu turut memperkenalkan ciri “relationship decay” yang mana hubungan digital akan menjadi semakin lemah dari masa ke masa jika pengguna tidak berinteraksi dalam dunia sebenar. Selain itu, perkhidmatan ini kini beroperasi tanpa iklan dan tanpa algoritma cadangan.Carson berkata reka bentuk semula itu turut dipengaruhi maklum balas daripada komuniti dalam talian, termasuk cadangan keperluan interaksi bersemuka boleh menggalakkan hubungan lebih bermakna. Dia kemudian membangunkan aplikasi mudah alih itu berdasarkan idea tersebut.Aplikasi itu kini tersedia di Apple App Store selepas melalui tempoh semakan antara satu hingga dua bulan.Antara ciri masa depan sedang dipertimbangkan termasuk membolehkan pengguna melihat rakan kepada rakan serta menghantar permintaan mesej kepada mereka selain pembangunan lanjut konsep “hubungan yang semakin pudar”. Carson berkata, pelan langganan berbayar untuk ciri premium mungkin diperkenalkan pada peringkat akan datang.Pelancaran semula ini mencerminkan usaha lebih luas untuk mentakrif semula rangkaian sosial dengan menggalakkan interaksi luar talian, sekali gus meletakkan Friendster sebagai alternatif kepada platform sedia ada berasaskan pengedaran kandungan algoritma. -Agensi