suria

Risau tersadung depan tetamu! Amaran buat bakal pengantin, jangan sesekali pergi ‘fitting’ baju tanpa bawa 2 benda ini

Sesi ‘fitting’ pakaian kahwin merupakan antara perkara penting bagi setiap pengantin. -Gambar hiasan AI

DALAM fasa persiapan menuju hari bahagia, ramai bakal pengantin terlalu memberi tumpuan kepada rekaan busana tanpa menyedari bahawa proses sesi mencuba pakaian memainkan peranan besar dalam memastikan penampilan sempurna.

Hakikatnya, kesilapan kecil yang berlaku ketika sesi yang biasa disebut sebagai 'fitting' ini boleh memberi kesan besar kepada penampilan anda pada hari majlis nanti.

Seorang individu yang aktif berkongsi tip persediaan pengantin, Kak Dara Rentan, menegaskan bahawa masih ramai bakal pengantin melakukan kesilapan sama ketika menghadiri sesi fitting baju.

Berikut beberapa panduan penting yang dikongsikan:

1. Bawa kasut kahwin

Jangan datang fitting hanya memakai sandal dan mengagak labuh baju kerana ketinggian kasut memberi kesan kepada potongan kain.

Tanpa kasut sebenar, tukang jahit tidak dapat menentukan ukuran yang tepat. 

Akibatnya, ada risiko kain terlalu labuh hingga boleh menyebabkan tersadung ketika berjalan di hadapan tetamu.

2. Pakai inner (pakaian dalam) yang sesuai

Elakkan memakai inner berwarna terang atau jenis yang tidak sesuai ketika fitting, terutamanya bagi busana berwarna putih.

Bentuk badan ketika fitting perlu sama seperti pada hari majlis. 

Jika semasa fitting memakai bra biasa tetapi pada hari sebenar menggunakan korset, baju berkemungkinan menjadi terlalu ketat atau longgar.

3. Jangan hanya berdiri

Kesilapan paling besar adalah hanya berdiri tanpa menguji pergerakan. 

Bakal pengantin disarankan untuk cuba duduk, berjalan dan mengangkat tangan seperti situasi sebenar.

Jika terasa tidak selesa atau sesak ketika duduk, itu petanda baju perlu diperbetulkan lagi.

4. Jaga kebersihan diri

Aspek kebersihan diri juga tidak wajar diabaikan. 

Hormati tukang jahit atau jurusolek yang membantu sepanjang sesi fitting dengan memastikan diri dalam keadaan bersih dan wangi.

Tambahan pula, bagi busana sewaan, ia akan digunakan oleh orang lain selepas ini.

Dalam masa sama, bakal pengantin diingatkan agar tidak terlalu fokus kepada fitting semata-mata.

Penyediaan perkara lain seperti senarai tugasan, tetamu, bajet dan perbelanjaan juga perlu diurus dengan baik supaya segala perancangan berjalan lancar dan teratur.

Artikel Lain