suria

Bapa hilang lebih 20 tahun, cari di alamat terakhir pun tak jumpa... Waris perlu tahu prosedur penting ini sebelum ke JPN

Setiap anak perlu bertanggungjawab mencari tahu atau bertanggungjawab terhadap hal ibu bapa. -Gambar hiasan AI

KISAH kehilangan ahli keluarga selama puluhan tahun bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi apabila tiada sebarang khabar berita yang dapat mengesahkan keadaan sebenar individu tersebut.

Seorang wanita tampil berkongsi situasi yang dihadapi apabila bapanya dilaporkan hilang sejak lebih 20 tahun lalu dan sehingga kini masih gagal dikesan. 

Katanya usaha mencari sudah dilakukan termasuk melalui hebahan di akhbar serta Permohonan Cabutan Daftar Kad Pengenalan Dan Cabutan Daftar Alamat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekitar lapan tahun lalu.

Bagaimanapun pencarian tersebut tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

Dalam keadaan yang berlarutan tanpa kepastian, wanita berkenaan cuba mendapatkan penjelasan daripada JPN di Thread mengenai kemungkinan dia boleh mendaftarkan kematian bapanya.

Persoalan itu diajukan memandangkan keluarga sebelah bapanya beranggapan lelaki itu berkemungkinan sudah meninggal dunia.

Menjawab kepada keraguan wanita itu, JPN menjelaskan situasi sebegini sebenarnya mempunyai saluran atau jalan penyelesaian daripada sudut perundangan. 

Walaupun tiada jasad atau bukti fizikal kematian, undang-undang Malaysia membenarkan proses pendaftaran kematian melalui kaedah yang dikenali sebagai perintah Anggapan Kematian.

Melalui peruntukan di bawah Seksyen 24A dan 24B Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), JPN boleh mendaftarkan serta mengeluarkan sijil anggapan kematian, namun ia tertakluk kepada perintah mahkamah.

Secara asasnya, Seksyen 18 akta sama menetapkan bahawa setiap kematian di Malaysia perlu didaftarkan dengan syarat mayat dijumpai.

Bagaimanapun, bagi kes kehilangan tanpa penemuan jasad, proses berbeza perlu dilalui.

Dalam keadaan tersebut, pihak waris perlu mendapatkan perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah Tinggi.

Pendaftaran rasmi boleh dilakukan oleh JPN hanya selepas mahkamah mengklasifikasikan individu berkenaan dianggap sebagai sudah meninggal dunia.

Artikel Lain