suria

Bukan sekadar pergi pacak bendera! Lagi tujuh tahun manusia boleh tinggal di Bulan

NASA rancak menjalankan projek bagi memulakan penempatan manusia di bulan. -Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

MANUSIA dijangka akan hidup di Bulan dalam tempoh tujuh tahun lagi, menurut pegawai tertinggi NASA. 

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat itu merancang untuk menempatkan angkasawan secara kekal di permukaan Bulan menjelang tahun 2033.

Perancangan itu dibuat susulan kejayaan misi Artemis II.

Projek ini dianggarkan menelan kos £24 bilion (RM136.8 bilion) bagi membina pangkalan tetap di Bulan. 

"Sudah tiba masanya untuk kembali percaya. Kali ini misinya bukan sekadar jejak kaki dan pacak bendera di Bulan.

"Kali ini matlamatnya adalah untuk kekal," kata pentadbir NASA, Jared Isaacman.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu tawan angkasa, negara China bina penempatan di bulan

Fasa pertama projek sudah bermula dengan penggunaan pendarat komersial kecil yang menghantar kargo dan peralatan sains ke kutub selatan Bulan sebagai persediaan untuk pendaratan angkasawan pada 2028.

Satelit komunikasi Bulan pertama, Lunar Pathfinder yang dibina di Britain, akan dilancarkan tahun depan bagi membolehkan angkasawan berhubung dengan Bumi secara stabil.

Tahun depan juga, sembilan lagi pendarat kargo akan membawa pelbagai peralatan termasuk pemanas, penjana kuasa nuklear, sistem komunikasi dan kenderaan rover NASA ke Bulan.

Kapal angkasa yang akan membawa angkasawan pula akan diuji di orbit dalam misi Artemis III yang dijangka pada pertengahan 2027.

Jika pendarat terbukti boleh dipercayai, misi Artemis IV dan V akan mendaratkan angkasawan di permukaan Bulan pada 2028.

Syarikat SpaceX milik Elon Musk dan Blue Origin milik Jeff Bezos kini bersaing untuk melaksanakan misi pertama tersebut.

Mulai 2029, pembinaan pangkalan bulan akan dimulakan. -Agensi

Artikel Lain