SEORANG kanak-kanak perempuan menyentuh hati ramai apabila enggan meninggalkan pusara datuk dan neneknya, malah sanggup berada di situ dalam tempoh yang lama.Kanak-kanak tersebut dilihat berbaring di hadapan kubur sambil ditemani makanan ringan, dalam rakaman video yang tular di media sosial. Menurut laporan, kedua-dua warga emas itu meninggal dunia dalam tempoh enam bulan, sekali gus memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak berkenaan.Difahamkan, dia dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak kecil kerana bapanya sibuk bekerja manakala ibunya berdepan masalah kesihatan.Kejadian menyayat hati itu berlaku di Liupanshui, China.Apabila dibawa melawat kubur, kanak-kanak itu enggan pulang walaupun dipujuk ibu bapanya, malah menyatakan hasrat untuk tidur di sisi pusara insan tersayang.Bapanya berkata, anaknya kerap meminta untuk menziarahi kubur datuk dan nenek sejak pemergian mereka.Tindakannya itu turut membuatkan ibu bapanya sebak, selain mengundang perhatian netizen yang tersentuh melihat kasih sayang mendalam antara cucu dan datuk nenek. -Agensi