Trump diiringi keluar ketika seorang penembak melepaskan tembakan semasa majlis makan malam tahunan Persatuan Wartawan Rumah Putih di Washington, malam Sabtu.
SUASANA majlis makan malam tahunan Persatuan Wartawan Rumah Putih di Washington Hilton bertukar cemas apabila satu insiden tembakan dilaporkan berlaku pada malam Sabtu.Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memaklumkan di platform Truth Social bahawa 'penembak telah ditangkap' kira-kira 30 minit selepas kekecohan tercetus. Menurut laporan agensi berita AP, seorang individu ditahan susulan insiden tembakan berhampiran pusat pemeriksaan keselamatan di lokasi acara berkenaan.Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Tiada mangsa lain dilaporkan cedera setakat ini, walaupun seorang pegawai penguatkuasa undang-undang mengesahkan bahawa tembakan telah dilepaskan.Ketika kejadian, anggota Perkhidmatan Rahsia bersama pihak berkuasa lain segera mengerumuni dewan jamuan, manakala tetamu bertindak bersembunyi di bawah meja bagi menyelamatkan diri.Penganjur majlis kemudiannya memaklumkan bahawa satu pengumuman akan dibuat dari pentas dan acara dijangka disambung semula, namun kebanyakan hadirin diarahkan kekal berada di dalam dewan dan tidak dibenarkan keluar buat sementara waktu.Orang ramai hanya dibenarkan keluar selepas keadaan dikawal, tetapi tidak dibenarkan masuk semula. Kawalan keselamatan di luar hotel juga diperketatkan.Hotel Washington Hilton yang menjadi lokasi acara itu selama bertahun-tahun lazimnya hanya memfokuskan keselamatan di dewan utama, menyebabkan ruang awam lain seperti lobi lebih terdedah kepada gangguan termasuk protes.Dalam kejadian tersebut, dewan jamuan yang menempatkan ratusan wartawan, selebriti dan pemimpin negara, yang ketika itu menunggu ucapan Trump, telah dikosongkan sepenuhnya.Setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum diketahui.Sementara itu, seorang pegawai penguatkuasa undang-undang mengesahkan kewujudan penembak, namun butiran lanjut masih belum diperoleh. -Agensi