SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang sanggup berulang-alik sejauh 700 kilometer (km) setiap minggu demi keluarga, dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya pada Sabtu.Mangsa, Azman Mazni menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Papar, Sabah menuju ke kediamannya di Sibu, Sarawak pada pukul 9.45 malam. Menerusi perkongsian menyayat hati sahabatnya di Facebook menggunakan akaun S Faizzul Syar, difahamkan arwah bertugas di Depot Imigresen Papar, Sabah.Rutin mingguannya adalah merentas perjalanan jauh sama ada ke Miri atau Sibu untuk bertemu isteri, ana-anak serta ibunya."Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak... ulang-alik setiap minggu. Di Miri ada ibu nak dijaga."Di Sibu pula ada isteri dengan anak. Perjalanan melebihi 700 km merentasi negara Brunei," kongsinya.Menurut Faizzul lagi, arwah sebelum ini sudah berusaha untuk mendapatkan pertukaran tempat kerja supaya lebih dekat dengan keluarga, namun impian itu tidak sempat menjadi kenyataan sepenuhnya."Tiap kali bertemu atau telefon memang topik yang arwah tanya pasal perpindahan."Bukan dia tak usaha tapi (permohonan) sudah dapat sokongan di peringkat negeri, cuma belum dapat kelulusan daripada ibu pejabat (HQ)."Perjalanan darat dari Sabah ke Sarawak bukan hanya merentas negeri, tapi merentas negara. Kadangkala apabila seseorang memohon pertukaran bukan sebab saja-saja, tapi ada orang tersayang menunggu," katanya.Pemergian arwah bukan sahaja dirasai sebagai kehilangan besar buat rakan sekerja, malah meninggalkan kesan mendalam buat Faizzul yang juga merupakan sahabatnya sejak kecil.“Ini ‘last ride’ kau sahabat… sikit lagi nak sampai rumah,” tulisnya dengan nada hiba.